KUALA LUMPUR – Hampir tiga tahun tidak membuat kemunculan bergaya dalam skala konsert di Singapura,penyanyi lelaki sensasi negara, Anuar Zain bakal mengubat kerinduan para peminatnya di sana.

Pastinya ribuan peminatnya di pulau republik itu tidak akan melepaskan peluang untuk menonton persembahan Anuar yang akan kembali yang dengan konsert terbaharu pada 26 Oktober 2018 nanti.

“Saya amat berbesar hati apabila sekali lagi diundang oleh Hype Records untuk membuat konsert di Singapura selepas konsert pada 2015.

“Saya amat teruja dengan tawaran ini kerana saya sentiasa mahu berkongsi minat saya terhadap muzik dan memberi yang terbaik kepada semua,” ujar Artis Lelaki Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2017 tersebut.
Jelas pelantun lagu Lelaki Ini, dia juga telah berbincang bersama pengarah muzik, Lee Sze Wan untuk mengubah semula susunan muzik agar lebih segar dan mantap, supaya bersesuaian dengan suasana, rasa dan tema konsert itu.

“Ini juga merupakan konsert pertama saya selepas album terkini dipasarkan dan saya akan turut menyanyikan lagu-lagu terbaru pada konsert ini nanti,” kata Anuar.

Para pengikut setia Anuar tentunya maklum tentang dua video muzik yang disampaikan dalam gaya penceritaan drama berantai menerusi judul Andainya Takdir dan Cinta Takkan Berakhir.

Kisah menyayat hati yang berkisar isu kasih sayang, kesetiaan, kepercayaan dan kekeluargaan itu sudahpun meninggalkan impak tersendiri termasuk mencetus pelbagai ulasan di media sosial daripada mereka yang terbawa-bawa dengan aksi lakonan dalam video muzik tersebut.

Istimewanya nanti, dalam persembahan di Singapura, jalan cerita yang menjentik emosi dalam muzik video itu akan bersambung.

“Pada malam konsert itu nanti, kami akan menayangkan muzik video dan lagu sambungan. Ramai yang bertanya dan tertunggu-tunggu.

“Insya-Allah pada malam itu, mereka yang menghadiri konsert tersebut akan dapat mengetahui apakah sambungan cerita tersebut,” jelas Anuar yang mengharapkan peminat dan pengunjung konsertnya akan  menikmati kenangan manis pada malam berkenaan.

‘Anuar Zain Cinta Takkan Berakhir Live In Singapore 2018’ akan diadakan di The Start Theatre @ The Star Performing Arts Centre pukul 8.30 malam

Tiket-tiket dari SG$228, $188, $158, $128 dan $98 (tidak termasuk yuran tempahan SISTIC ) boleh didapati di semua outlet SISTIC, via hotline 63485555 dan juga secara online di www.sistic.com.sg mulai 3 Ogos ini ini.

Konsert ini dibawakan khas oleh Hype Records. Layari www.hyperecords.com dan https://www.facebook.com/HypeRecords bagi sebarang maklumat lanjut. – MalaysiaGazette