Keluarga Kapten Zaharie Ahmad Shah menarik nafas lega, apabila Laporan Siasatan Keselamatan bagi penerbangan MH370 Malaysia Airlines yang dikeluarkan semalam menunjukkan “tiada perkara negatif” tentang juruterbang pesawat yang kemudiannya dilaporkan hilang itu, lebih 4 tahun lepas.
Keluarga Kapten Zaharie Ahmad Shah menarik nafas lega, apabila Laporan Siasatan Keselamatan bagi penerbangan MH370 Malaysia Airlines yang dikeluarkan semalam menunjukkan “tiada perkara negatif” tentang juruterbang pesawat yang kemudiannya dilaporkan hilang itu, lebih 4 tahun lepas.

PUTRAJAYA – Keluarga Kapten Zaharie Ahmad Shah menarik nafas lega, apabila Laporan Siasatan Keselamatan bagi penerbangan MH370 Malaysia Airlines yang dikeluarkan semalam menunjukkan “tiada perkara negatif” tentang juruterbang pesawat yang kemudiannya dilaporkan hilang itu, lebih 4 tahun lepas.

Kakaknya, Sakinab Ahmad Shah lega dan gembira kerana nama adik lelakinya itu dibersihkan daripada segala tuduhan.

“Saya sangat gembira sebab namanya sudah dibersihkan, bagaimanapun sebagai penyudah, kami mahu pesawat itu ataupun bangkainya dijumpai,” katanya selepas mengikuti taklimat laporan itu oleh Pasukan Penyiasat Keselamatan Annex 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia bagi MH370 di sini, semalam.

Beliau berkata, laporan semalam membuktikan tiada perkara negatif berkaitan karakter, ciri-ciri tugas, rekod profesional dan keadaan keluarganya sebelum Zaharie menerbangkan pesawat berkenaan.

Pesawat 777-200ER itu membawa 12 kru dan 227 penumpang, sebahagian besar daripadanya adalah warganegara China.

Sementara itu, Grace Nathan, anak perempuan Anne Daisy, seorang daripada penumpang MH370, menggesa pihak berkuasa meneruskan pencarian pesawat MH370.

Beliau berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan sebarang tawaran daripada mana-mana syarikat yang bersedia melakukan pencarian pesawat itu atas dasar “tiada penemuan tiada bayaran”.

“Matlamat utama kami supaya pencarian MH370 diteruskan bagi mengelak insiden seperti ini berulang di masa depan. Kita mesti ingat berjuta-juta orang menaiki penerbangan setiap hari. Soal keselamatan tidak boleh dipandang remeh.”

Sementara itu, seorang ahli keluarga kru MH370 yang hanya mahu dikenali sebagai Fong tidak puas hati, kecewa dan marah dengan taklimat semalam kerana menurutnya, taklimat itu hanya untuk memberitahu waris sesuatu yang “mereka sudah tahu.”

“Pasukan ini tidak dapat menentukan punca sebenar kehilangan MH370. Apa yang kami mahu tahu adalah sama ada kerajaan akan meneruskan pencarian…kami diberitahu yang kami perlu tunggu keputusan kementerian.”

Sementara itu, Intan Maizura Othman yang merupakan isteri pramugara MH370, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan, amat terkejut dan marah kerana pasukan penyiasatan gagal menjawab soalan waris semasa taklimat itu berlangsung.

“Sungguh mengecewakan apabila tiada siapa pun dalam taklimat itu yang dapat menjawab soalan kami. Kami berharap ada orang yang boleh jumpa kami dan beritahu kami apa yang berlaku kepada MH370.” — BERNAMA