Khazanah
Khazanah Nasional Bhd terus mencatatkan pertumbuhan serta melindungi asetnya bagi pihak negara, dengan nilai aset bersih (NAV) meningkat kepada RM86 bilion pada 2021 daripada RM79 bilion tahun lepas.

KUALA LUMPUR – Pelantikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam Khazanah Nasional Berhad tidak bercanggah dengan Manifesto Pakatan Harapan (PH).

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, pelantikan kedua-dua mereka itu sebenarnya bersesuaian dengan portfolio masing-masing dalam kerajaan.

Malah jelasnya, mereka berkemampuan untuk menarik pelabur ke negara ini.

“Tidak jadi isu. Saya lihat elok juga Khazanah pergi kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan juga Perdana Menteri.

“Saya tak nampak seperti bercanggah sangat kerana ia merangkumi bidang pengkhususan mereka untuk mendapatkan pelaburan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen petang tadi.

Beliau mengulas kepada kritikan segelintir pihak yang menyebut kandungan manifesto PH menyebut pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri perlu dalam kalangan profesional bukan politik.

Terdahulu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan mendakwa, berdasarkan aku janji tersebut, PH menetapkan mana-mana lantikan ahli lembaga pengarah syarikat GLC perlu dilantik dalam kalangan profesional bukan politik.

Jelas Shahril, tindakan itu secara langsung tidak mencerminkan Malaysia baharu yang lebih telus dan seolah-olah individu yang tidak sehaluan dengan kerajaan akan diketepikan walaupun mempunyai rekod yang cemerlang.

“Jika sebelum ini Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar menjadi ‘korban politik’ kerajaan, hari ini Tan Sri Azman Mokhtar yang merupakan Pengarah Urusan Khazanah pula yang menjadi mangsa.

“Apa yang paling merisaukan adalah ketidaktentuan hala tuju Khazanah selepas ini. Jika hala tuju selama ini yang telah memberi pulangan baik tidak diminati oleh pentadbiran kerajaan sekarang, apa pula hala tuju baru Khazanah?

“Apakah yang akan berlaku kepada RM157 bilion aset Khazanah yang seharusnya masih boleh menjana pulangan baru kepada negara?,” katanya dalam laman sosial Facebook beliau semalam. – MalaysiaGazette