Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah membuat keputusan untuk tidak mengadakan sebarang pilihan raya Kerajaan Tempatan (PBT) untuk tiga tahun akan datang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin, pihaknya memerlukan masa untuk melakukan kajian bagi pindaan undang-undang terlebih dahulu.

Selain itu, pihaknya juga mahu memberikan ruang bagi menstabilkan ekonomi dan kewangan negara terlebih dahulu sebelum mengadakan pilihan raya PBT kelak.

“Antara perkara teknikal yang harus kita lihat ialah meminda beberapa undang-undang antaranya Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171), Akta Pilihanraya 1998, Akta Ibu Kota Persekutuan, Peraturan Pilihanraya 1981, Perturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftar Pemilih) 2002 dan pengaktifan semula Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960.

“Ini juga memandangkan keadaan kewangan dan ekonomi negara belum stabil untuk mengadakan pilihan raya kerajaan  tempatan yang kosnya tinggi,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendera) di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Zuraida yang juga merupakan Ahli Parlimen Ampang,  kerajaan pada masa yang sama telah mengambil beberapa langkah termasuklah menubuhkan jawatankuasa di peringkat KPKT.

“Satu bengkel pada 12 Julai melibatkan beberapa agensi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Wilayah dan penasihat undang-undang.

“Hasil daripada bengkel ini mereka telah membuat satu ‘roadmap’ yang membolehkan kita mengkaji semua perundangan sedia ada, selain menyediakan satu kertas kerja untuk dibentangkan kepada Kabinet,” ujarnya. – MalaysiaGazette