Calon Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam menunjukkan poster kempen beliau yang diarahkan turun oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Program Ziarah Kasih sempena kempen Pilihan Raya Kecil N. 49 Sungai Kandis di Lorong Abdullah, Batu 7, Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 30 JULAI 2018
Calon Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam menunjukkan poster kempen beliau yang diarahkan turun oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Program Ziarah Kasih sempena kempen Pilihan Raya Kecil N. 49 Sungai Kandis di Lorong Abdullah, Batu 7, Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 30 JULAI 2018

SHAH ALAM – Calon Barisan Nasional (BN), Datul Lokman Noor Adam kesal dengan kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menafikan dakwaan pihaknya mengarahkan bahan kempen, iaitu kain rentang BN diturunkan.

Katanya, beliau mempunyai bukti arahan itu dihantar melalui aplikasi Whatsapp kepada pembantunya, Mohd Rauf yang meminta supaya menurunkan kain rentang berkenaan.

“Dalam kenyataan balas saya semalam, saya tidak pernah menyebut SPR telah menurunkan (kain rentang). Saya cuma sebut, SPR mengarahkan kita supaya menurunkan kain rentang itu.

“Jadi, saya memberitahu mereka, kita tidak akan turunkan. Kita akan lawan, dan jawapan ini sudah tular di media sosial. Dengan itu, pada sebelah petangnya (semalam), SPR beritahu kepada kita, tidak apa, boleh pasang. Tetapi mereka minta, kita supaya jangan panjangkan isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media pertamanya di pejabat UMNO Bahagian Kota Raja dekat sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood dalam kenyataan penafian berkata, pihaknya tidak pernah berbuat demikian terhadap calon BN.

Tegasnya, tiada sebarang tindakan penurunan bahan kempen tersebut dibuat oleh Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) seperti didakwa.

Mengulas lanjut, Lokman memberitahu, setelah menerima pesanan kali kedua dari pegawai SPR supaya tidak memanjangkan isu itu, beliau akur dengan arahan itu.

“Tetapi, apabila Othman mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan saya kononnya saya cakap SPR yang turunkan banner calon BN. Ini satu fitnah bagi saya.

“Saya nampak kenyataan beliau ini hendak menunjukkan seolah saya berbohong. Sebab itu saya bertanya, SPR ini bekerja untuk memenangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau pun dia bertindak sebagai sebuah agensi yang adil.

“Saya tidak pernah kata mereka turunkan. Memang ada kain rentang kita yang dicantas atau dipancung oleh pihak yang kita tidak tahu siapa. Tetapi kita tidak pernah sebut SPR telah menurunkan (kain rentang) itu,” ujarnya.

Beliau memberitahu, ada beberapa kain rentang yang dipasang di Jalan Kebun, dalam kawasan pilihan raya kecil itu telah dicantas, tetapi tidak diketahui oleh pihak mana.

Antara kain rentang yang dicantas itu, yang bertulus “Dah mansuh GST?” dan “Muncul cukai 6 peratus”. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. dah jadi pembangkang ambil tempat ph lah pulak. dulu muka mahadir pun kena potong. mahadir tak sibuk pun.

Comments are closed.