Pengerusi Gabungan NGO Malaysia Merangkap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos beramah mesra bersama Bekas Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi (dua kanan) pada Majlis Doa Selamat dan Bacaan Yaasin di kediamannya yang terletak di Lorong C, Jalan 4M, Ampang Jaya, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 01 OGOS 2018
Pengerusi Gabungan NGO Malaysia Merangkap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos beramah mesra bersama Bekas Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi (dua kanan) pada Majlis Doa Selamat dan Bacaan Yaasin di kediamannya yang terletak di Lorong C, Jalan 4M, Ampang Jaya, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 01 OGOS 2018

AMPANG – Datuk Seri Jamal Yunos mencadangkan agar Jabatan Penjara Malaysia tidak menyekat kemasukan tembakau ke dalam penjara untuk kegunaan banduan.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu berkata, adalah tidak wajar untuk menyekat kehendak banduan yang berkeinginan untuk menggunakan tembakau (hisap rokok) kerana perkara itu sudah menjadi tabiat mereka sebagai seorang perokok.

“Jika tidak mereka ini akan menelan tembakau atau pemetik api bagi digunakan di dalam sel penjara.

“Perkara itu saya lihat sendiri bagaimana mereka menelan dan mengeluarkannya melalui dubur. Ia memang kotor tetapi itulah yang berlaku di dalam penjara,” katanya ketika menceritakan pengalaman beliau sepanjang 27 hari menjalani kehidupan di Penjara Sungai Buloh.

Jamal sebelum ini dihantar ke penjara berkenaan selepas permohonan rayuannya ditolak Mahkamah Majistret Ampang selepas dituduh melarikan diri daripada tahanan sah mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

Jamal melarikan diri ketika beliau mendapatkan rawatan di hospital pakar Ampang Puteri dekat Ampang.

Polis telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Jamal yang melarikan diri sebelum mahkamah sempat mengikat jamin terhadapnya.

Mengulas lanjut Jamal berkata, menjalani kehidupan di dalam penjara sememangnya menguji mental seseorang individu yang sedang menjalani hukuman.

Justeru ujarnya, tidak wajar keinginan mereka yang hanya semata-mata untuk mendapatkan rokok dihalang sedangkan kemahuan mereka itu bukanlah terlalu berat atau merosakkan.

Terdahulu, Jamal mengadakan majlis doa selamat di rumahnya sempena pembebasannya daripada tahanan tersebut.

Dalam pada itu, Jamal turut mencadangkan kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) supaya mengkaji semula tangga gaji pegawai dan warden penjara.

Ini kerana katanya, beliau dimaklumkan bahawa tangga gaji kakitangan penjara lebih rendah dan tidak sama seperti agensi keselamatan yang lain.

Maklumat itu jelasnya, diperolehi daripada beberapa pegawai penjara yang diajak bersembang ketika mengiringi beliau sepanjang tempoh tahanannya berlangsung.

“Lebih menyedihkan lagi apabila mereka ini juga tidak mempunyai perlindungan insurans yang boleh memberi jaminan kepada masa depan mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette