Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 OGOS 2018
RSN Rayer

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mempertahan perkataan ‘kepala bapak’ yang disebut beliau dalam Dewan Rakyat malam tadi.

Beliau menjelaskan ia bermaksud ‘nonsense’ atau mengarut tanpa niat menghina mana-mana pihak.

Beliau turut menegaskan perkataan ‘kepala bapak’ itu tidak salah kerana ia digunakan dalam filem lakonan Tan Sri P Ramlee, Pendekar Bujang Lapok.

Malah katanya, Datuk Seri Najib Razak (BN-UMNO Pekan) yang juga bekas Perdana Menteri pernah menggunakan perkataan itu sebelum ini.

“Pada pemahaman saya, perkataan ‘kepala bapak’ itu sering digunakan dalam bahasa Melayu.

“Kalau kita tengok filem P Ramlee, Pendekar Bujang Lapok, pelakon dalam cerita itu kata ‘kepala bapak kau’ yang bermaksud ‘nonsense’ (mengarut).

“Oleh itu, saya tidak rasa itu kenyataan biadab. Kalau biadab, dulu pun Pekan (Najib) pernah guna,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Exco Pemuda UMNO, Shahrul Nasrun Kamaruddin yang mempersoalkan tindakannya di Dewan Rakyat malam tadi dan disifatkan sebagai ‘biadab dan kurang ajar’.

Malam tadi, Ahli Parlimen dari DAP itu mencelah penggulungan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman, yang menujukan perkataan ‘kepala bapak’ kepada ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN). – MalaysiaGazette