Dr. Maszlee Malik.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneruskan program PT Rintis (pembantu guru) yang dimulakan oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya bersedia meneruskan dasar kerajaan BN yang memberi manfaat dengan disertai penambahbaikan.

“Program PT Rintis dimulakan lebih awal dan apa yang terbaik daripada kerajaan terdahulu akan diteruskan.

“Bagaimanapun, langkah ini bukan satu-satunya tindakan untuk kurangkan beban guru kerana mereka hanya membuat kerja pengkeranian dan bukan pengajaran.

“Mengikut rekod, seramai 412 pembantu guru tamat kontrak pada Jun lalu,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-UMNO Padang Terap) pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

PT Rintis diperkenalkan pada 2012 oleh Menteri Pendidikan ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Program Pelaksanaan Rintis Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS)-Pemantapan Profesion Guru bermula di Melaka, diikuti Kedah.

Mazslee berkata, mereka yang terbabit sudah dipanggil semula dan akan berkhidmat sehingga akhir tahun ini.

“Kertas cadangan untuk melanjutkan perkhidmatan mereka sehingga tahun depan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet,” katanya. – MalaysiaGazette