Nasruddin Hassan Tantawi
Nasruddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) ternyata mengkhianati prinsip urus tadbir digagaskan Pakatan Harapan, sekali gus membuktikan mereka tiada sebarang perbezaan dengan Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata, Pakatan Harapan perlu sedar bahawa mereka yang menentang pemusatan dan langkah membolot kuasa Perdana Menteri sehingga boleh memanipulasi institusi penting negara.

Menurutnya, pelantikan itu sama sekali bercanggah dengan janji Pakatan Harapan untuk tiada campur tangan politik dalam pentadbiran syarikat milik kerajaan (GLC).

Lantaran itu, Nasrudin mahu Pakatan Harapan melibat semula janji yang dibuat sebelum ini yang akan menerima pakai piawaian antarabangsa dalam rangka memperbaiki keseluruhan tadbir urus GLC.

“Kerajaan Persekutuan disaran merujuk semula amalan urus tadbir lebih telus seperti digariskan Pertubuhan Pembangunan Kerjasama Ekonomi (OECD).

“Rakyat tentu tidak mahu percanggahan kepentingan dan salah guna kuasa berlaku antara Perdana Menteri dengan Khazanah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Isnin lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Khazanah yang baharu berkuat kuasa serta-merta.

Selain itu, ia turut mengumumkan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah baru Khazanah iaitu Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Tan Sri Mohd Hassan Marican, Dr Sukhdave Singh dan Goh Ching Yin. – MalaysiaGazette