Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Mohmad Salleh menunjukkan dadah yang disyaki syabu yang berjaya dirampas dianggarkan bernilai RM 1.56 juta yang dipercayai untuk pasaran Sabah dan Sarawak dengan menggunakan keldai dadah di Menara 1, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sindiket dadah yang cuba menyeludup syabu ke Malaysia Timur Sabah dan Sarawak.

Kejayaan itu adalah susulan tertangkapnya empat lelaki warga tempatan yang mendalangi sindiket dadah jenis syabu itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, keempat-empat suspek dicekup polis Narkotik Bukit Aman dan Selangor dalam dua serbuan di Kajang dan Tanjung Malim, Perak antara pukul 9 malam hingga 10.50 malam pada 30 Julai lalu.

“Hasil serbuan berjaya melumpuhkan sindiket dadah didalangi warga tempatan dan merampas dadah disyaki Syabu dipercayai untuk pasaran tempatan termasuk ke Sabah dan Sarawak.

“Dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Sungai Long, Kajang, tiga lelaki tempatan ditahan dan merampas 30 bungkusan dadah dipercayai Syabu yang disimpan dalam setor rumah itu.

“Semakan rekod mendapati negatif rekod lampau dan ujian air kencing juga negatif dadah manakala dalam serbuan kedua di rumah Rehat dan Rawat (R&R) di daerah Tanjung Malim, Perak seorang lagi lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan dan tidak sebarang barang dadah ditemui bersama suspek,” katanya dalam sidang media kejayaan itu di Bukit Aman hari ini.

Tambah beliau, keseluruhannya polis berjaya merampas dadah syabu seberat 31 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.56 juta dipercayai untuk pasaran di sabah dan Sarawak menggunakan keldai dadah.

Menurut beliau suspek yang ditahan di Kajang dan di Tajung Malim saling berkaitan dalam sindiket ini.

Malah ujar beliau, tangkapan mereka adalah susulan kejayaan Kastam Sabah yang berjaya merampas penyeludupan dadah sebanyak 100 kilogram di Sandakan pada Februari lalu.

Dalam perkembangan sama, katanya polis Narkotik turut menyita empat kenderaan pelbagai jenis dan sebuah motosikal beserta sedikir wang tunai.

“Sindiket ini membawa dadah dari negara jiran di utara dalam bentuk serbuk sebelum dibungkus anggotanya dalam bentuk bungkusan hijau tea Cina menggunakan perkhidmatan keldai dadah, Pos Laju dan kurier ke Sabah dan Sarawak.

“Kesemua empat suspek itu adalah berusia antara 23 hingga 52 tahun tetapi tiga daripadanya direman tujuh hari sehingga 6 Ogos ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Manakala seorang lagi suspek yang ditahan di Tanjung Malim tanpa sebarang rampasan pula direman empat hari sehingga 3 Ogos ini dibawah seksyen yang sama,” tegas beliau lagi.

Katanya polis masih menyoal siasat suspek untuk memastikan sama ada terdapat saki baki yang terlepas dan bebas di luar sana dalam kes ini.-MalaysiaGazette