Muhammad Khalil
Muhammad Khalil

SHAH ALAM – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini perlu dilihat sebagai penanda penting kepada wajah politik Malaysia dan Selangor pasca PRU-14.

Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia adalah PRK pertama setelah landskap politik negara berubah dengan tumbangnya Barisan Nasional (BN) yang menerajui kerajaan sekali gus berakhir sejarah lama dan melakar sejarah baharu.

Namun, kata beliau, Pas telah membuat keputusan untuk tidak menyertai PRK Sungai Kandis atas alasan sebagaimana kenyataan rasmi setiausaha agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini.

“Antaranya ialah kepentingan untuk mengukuhkan suara pembangkang dalam kerajaan Selangor sebagai timbang tara bagi memastikan suara rakyat diketengahkan.

“Pun begitu kami percaya, gelombang kesedaran masih kekal aktif kerana rakyat mengharap perubahan ke arah kehidupan dan negara yang lebih baik.

“Para pengundi, khususnya anak muda tentunya bakal menjadi penentu penting mencipta keputusan PRK Sungai Kandis sebagai manifestasi terkini terhadap perkembangan situasi politik nasional,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Muhammad Khalil turut menyeru pengundi dalam kalangan anak muda kekal bersikap matang dan kritis dalam mengemuka interpretasi terhadap pelbagai gelojak pasca PRU-14.

PRK Sungai Kandis katanya, perlu menjadi platform penting bagi anak muda memberi suara dengan menyatakan protes undi ke atas janji manifesto yang dimungkiri oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast