Mohamad Ariff Md Yusoff
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof menasihatkan para wakil rakyat supaya meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan selain berbahas secara beradab.

KUALA LUMPUR – Perintah interim yang diperoleh peguam Datuk Seri Najib Razak untuk menghalang kes mahkamahnya dibincangkan di khalayak kini sudah boleh dibawa ke Dewan Rakyat.

Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md. Yusoff yang menyatakan perkara itu berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kes sivil di mahkamah yang menolak permohonan bekas perdana menteri mengenai derma RM2.6 bilion.

Bagaimanapun katanya, larangan dikenakan kepada ahli Parlimen daripada membincangkan hal-hal berkaitan pendakwaan jenayah terhadap Najib bersesuaian dengan perintah larangan memberi ulasan (gag order) dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada 4 Julai lalu.

“Saya telah menyemak perkara ini dan memutuskan oleh kerana ia melibatkan pendakwaan kes jenayah di mahkamah Malaysia.

“Oleh yang demikian tidak dibenarkan ia dibincang, dibahas dan disebut di dewan sebagaimana sekatan gag order tersebut.

“Ini bagi menghormati penghakiman mahkamah dan prinsip pemisahan kuasa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, larangan itu hanya terhad bagi perkara berkaitan pendakwaan.

“Saya telah membincangkan perkara ini dan menafsirkan bahawa mahkamah dalam Peraturan 36 (2) hanya terpakai kepada mahkamah Malaysia, oleh itu ia tidak terpakai kepada mahkamah asing,” katanya.

Beliau turut menolak keputusan bekas Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia yang tidak membenarkan perkara berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB), termasuk saman yang difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dibincangkan di Parlimen.

Pada Mac 2016, Pandikar mengeluarkan perintah melarang Dewan Rakyat berbincang mengenai 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

Perkara itu telah menyebabkan Dewan Rakyat mendapat kritikan kerana dianggap membisukan anggota Parlimen daripada menimbulkan isu-isu kepentingan awam.

Dalam pada itu Ariff berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan kebebasan bersuara di Dewan Rakyat yang perlu dihormati.

“Prinsip sub judis tidak boleh didefinisikan dalam cara yang memberi kesan kepada kebebasan bersuara.

“Prinsip sub judis tidak boleh ditakrifkan dalam cara yang boleh mengakibatkan kebebasan bersuara Ahli Parlimen tidak berkesan dalam membangkitkan isu-isu kebangsaan dan awam melalui Dewan ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette