KUALA LUMPUR – Kenaikan gaji dan lebih banyak peluang pekerjaan di luar bandar merupakan antara harapan rakyat sempena Hari Pekerja yang akan disambut esok.

Rata-rata orang ramai yang ditemui MalaysiaGazette berharap ada sinar baharu daripada pengumuman yang akan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Siti Aisyah Muhammad Khalil

Menurut Siti Aisyah Muhammad Khalil, 23, walaupun baru sahaja memasuki alam pekerjaan, dia berharap kerajaan dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang seimbang antara bandar dan luar bandar.

Beliau yang berasal dari Kedah berkata, ini kerana kos sara hidup di bandar agak tinggi namun tawaran peluang pekerjaan lebih banyak berbanding di kampung halamannya.

“Saya harap kerajaan boleh mempertimbangkan peluang pekerjaan yang sama atau setara di negeri-negeri yang sedang maju sama seperti di Kuala Lumpur.

“Kalau di Kedah, peluang pekerjaan atau tawaran gaji itu tidak sama macam di sini. Saya kalau boleh nak bekerja di sana tapi tawaran sini lagi tinggi untuk saya bantu keluarga,” ujarnya.

Alwani Khairul

Pandangan sama turut disuarakan Alwani Khairul, 27, yang mencadangkan aras gaji di bandar perlu ditetapkan sekurang-kurangnya RM2,500 ke atas susulan kos sara hidup yang terlalu tinggi.

“Saya harap peluang pekerjaaan dibuka lebih banyak di negara ini, selain tangga gaji yang ditawarkan juga selari dengan kos sara hidup ketika ini. Bagi saya gaji di kawasan bandar haruslah sekurang-kurangnya RM2,700.

“Untuk warga asing pula, kerajaan perlu pantau dan kawal jumlah kemasukan mereka ke nagara ini kerana ia memberi satu cabaran pada warga tempatan untuk berdaya saing dalam peluang pekerjaan.

“Saya harap kerajaan menghadkan jumlah mereka ditambah ekonomi negara ketika ini juga semakin baik, maka perlulah kita membantu perspek pekerja tempatan terutamanya,” katanya.

Nuraini Abd Razak

Bagi Nuraini Abd Razak, 36, menzahirkan rasa tidak sabar dengan pengumuman Perdana Menteri berhubung peningkatan kadar pendapatan bersih penjawat awam.

“Sebagai pekerja di Malaysia ini, saya memang tidak sabar untuk dengar khabar baik itu dan saya berharap ia menjadi realiti terutama pada kami yang menetap di bandar ini ditambah kos hidup juga semakin tinggi,” jelasnya.

Nuraziemah Saad

Sementara itu, menurut Nuraziemah Saad, 31, berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemansuhan pencen dan membuka peluang pekerjaan kepada generasi baharu.

“Saya harap kerajaan dapat mempertimbangkan isu pemansuhan pencen itu dan meneruskan kaedah tersebut. Selain itu, bukan banyak peluang pekerjaan terutama pada generasi baharu yang masih tercari-cari lagi,” katanya.

Sebelum ini, Anwar dalam hantaran di Facebooknya berkata, cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam akan diumumkan pada perhimpunan Hari Pekerja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast