Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (kanan) berkata sesuatu kepada Calon Barisan Nasional (BN) N.49 Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam (kiri) pada sidang media mengenai perkembangan terkini untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.49 Sungai Kandis di Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja, Seksyen 31, Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 02 OGOS 2018

SHAH ALAM – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mungkin menggunakan politik wang.

Beliau mendakwa kemungkinan itu berlaku sebagai langkah terdesak mereka untuk memastikan kemenangan berpihak kepada calon PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni.

Katanya, memandangkan tempoh berkempen tinggal lagi dua hari, kemungkinan menggunakan politik wang itu sangat besar bagi meraih sebanyak mungkin undi pada hari mengundi Sabtu ini.

Beliau berkata, selain SPR, BN juga turut menubuhkan pasukan khas yang akan memantau pergerakan kempen pihak lawan di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

“Saya tidak tolak kemungkinan itu akan berlaku. Tambahan pula, selepas mereka menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, mereka menjadi kerajaan dan mempunyai banyak kemudahan untuk mempengaruhi rakyat.

“Tempoh berkempen pun tinggal dua malam sahaja lagi, malam ini dan malam esok. Dalam keadaan yang singkat dan terdesak ini, segalanya mungkin berlaku, termasuk menggunakan politik wang,” katanya pada sidang media di pejabat UMNO Bahagian Kota Raja hari ini.

Lokman mendedahkan perkara itu setelah mendapat maklumat daripada pihak tertentu mengenai penggunaan politik wang di beberapa PDM sebagai usaha membeli undi.

Beliau yang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO turut mengingatkan pengundi dalam DUN Sungai Kandis agar tidak sekali-kali terpedaya dengan pujuk pihak tertentu meminta mereka menyerahkan kad pengenalan.

“Pihak ini pergi ke rumah-rumah penduduk minta serahkan kad pengenalan. Selepas mereka dapat kad pengenalan itu, mereka menghulurkan sejumlah wang kepada penduduk berkenaan.

“Mereka lakukan ini kepada pengundi dan penyokong BN, dengan harapan pengundi ini tidak boleh keluar mengundi kerana tidak ada kad pengenalan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast