Darell Leiking

KUALA LUMPUR – SME Corp merancang untuk melaksanakan pelan Induk jangka panjang baharu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk memacu bidang keusahawanan dan pembangunan selepas tahun 2020.

Menter Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leking berkata, pelan induk PKS 2.0 yang dicadangkan itu membolehkan PKS bersaing dalam pasaran berteknologi tinggi dan persaingan globalisasi.

“Bagi mencapai matlamat ini, pelan induk berkenaan perlu mengambil kira perubahan demografik, ekonomi dan landskap perniagaan serta mengenalpasti peluang dan cabaran baharu yang perlu ditangani PKS di Malaysia.

“Pelan induk ini antara lain akan menyelaras PKS bagi meraih faedah daripada megatrends seperti Revolusi Industri Keempat, era digitalisasi (ekonomi digital) selain meneroka model perniagaan baharu yang wujud berikutan teknologi kewangan baharu, perniagaan inklusif, ekonomi gig dan ekonomi pusingan,” katanya dalam sidang media di Menara MITI di sini hari ini.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika mengumumkan prestasi PKS 2017 bersama timbalannya, Ong Kian Ming, Ketua Setiausaha MITI, Datuk Isham Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Datuk Hafsah Hashim.

Dalam perkembangan sama, Darell menambah, untuk memastikan PKS mendapat maklumat dengan mudah,  satu hab PKS telah ditubuhkan MITI dengan objektif memperlengkapkan industri itu dengan maklumat yang berkaitan.

“PKS boleh mengakses maklumat mengenai insentif dan program pembangunannya di atas talian dan luar talian melalui Aplikasi SMEhub, PKS bergerak, pusat Fizikal Hab PKS, laman web rasmi SME Corp Malaysia dan media sosial.

“Selain itu, ia boleh juga mendapatkan maklumat sokongan khidmat pernigaan daripada Hab PKS selain SME Info Portal yang menyediakan maklumat mengenai program dan aktiviti serta latihan dianjurkan oleh pelbagai kementerian dan agensi,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Habsah Hashim pula berkata, pelan jangka panjang PKS sedia ada akan mencapai penghujungnya pada tahun  2020.

MGF03082018_PC SME CORP MALAYSIA09
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Datuk Dr.Hafsah Hashim bercakap pada sidang media mengenai prestasi PKS pada 2017 dari segi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), eksport dan guna tenaga di Aras 31, Menara MITI, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 OGOS 2018

Menurut beliau, pertumbuhan bagi kajian suku ketiga persembahan PKS juga mengambilkira dan dipengaruhi pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Kami kini mengukur produktiviti yang meningkat dari 60,000 kepada 63,000 ketika ini dan mengharapkan pertumbuhannya dua kali ganda dengan sekurang-kurangnya mencecah 90,000 menjelang 2020.

“Tapi apabila capai 2020, kesemua data pencapaian PKS setakat 2020 ini akan digunakan untuk pelan induk PKS 2.0 untuk meneruskan pertumbuhannya selepas 2020,” tegasnya.- MalaysiaGazette