Sebahagian pengundi saluran satu dan dua beratur menunggu giliran untuk membuang undi semasa Pilihan Raya (PRK) N.49 Sungai Kandis di Pusat Daerah Mengundi (PDM), Sekolah Rendah Agama Sungai Kandis, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 04 OGOS 2018.

KLANG – Sehingga jam 10.30 pagi ini, sebanyak 18 peratus pengundi keluar mengundi pada PRK DUN Sungai Kandis, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya.

Sementara itu Bernama melaporkan, sebanyak 19 pusat pengundian dengan 109 saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan 51,217 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Pusat pengundian yang melibatkan 18 buah sekolah dan sebuah dewan orang ramai akan ditutup pada pukul 5.30 petang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 80 peratus pemilih keluar mengundi pada PRK itu dan keputusan dijangka diumumkan pada pukul 10 malam.

Proses penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 di sini, sebaik sahaja proses pengundian tamat pada pukul 5.30 petang ini.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas K. Murthy. – MalaysiaGazette