Kemudahan Casa Kokopelli di Mesa. foto BBC

PHOENIX – Seorang bekas pekerja di tempat perlindungan untuk kanak-kanak pendatang tanpa izin di Arizona mengaku tidak bersalah melakukan jenayah seksual terhadap lapan remaja lelaki di bawah jagaannya.

Levian Pacheco, 25, didakwa melakukan 11 jenayah seks antara Ogos 2016 dan Julai 2017 di pusat perumahan yang dikendalikan oleh pihak swasta.

Rekod menunjukkan dia seorang pengidap HIV-positif dan beberapa kanak-kanak lelaki menjalani ujian untuk mengesan virus tersebut.

Pendakwa raya berkata, budak lelaki yang didakwa menjadi mangsa Pacheco di kemudahan Casa Kokopelli di Mesa semuanya berusia antara 15 hingga 17 tahun.

Suspek bekerja dengan Southwest Key, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di Texas yang merupakan organisasi terbesar yang mendapat kontrak kerajaan Amerika Syarikat untuk menempatkan anak-anak pendatang tanpa izin.

Sejumlah lebih 2,000 kanak-kanak yang dipisahkan dari ibu bapa mereka selepas menyeberangi sempadan Amerika Syarikat-Mexico tanpa dokumen telah ditempatkan di kemudahan Southwest Key.

Ia merupakan kes pencabulan ketiga membabitkan kakitangan Southwest Key.

Awal minggu ini, seorang pekerja rumah kebajikan di Phoenix didakwa kerana mencabul remaja berusia 14 tahun. – MalaysiaGazette