OTTAWA – Sebuah francais McDonald’s di Kanada memohon maaf setelah seorang wanita yang membeli latte telah terminum cecair kimia.

Wanita itu, Sarah Douglas, 31, yang mengandung lapan bulan telah membeli latte di McDonald’s di Lethbridge ketika dalam perjalanan untuk menyaksikan kejohanan besbol yang disertai anaknya.

Sambil memandu, Sarah telah meneguk minumannya.

“Saya rasa mulut seperti terbakar,” kata Sarah.

Dia kemudian berhenti di tepi jalan dan meludah cecair tersebut.

Sarah berkata, beliau kemudian membuka cawan tersebut dan mendapati minuman yang beli di restoran makanan segera itu bukan latte kerana cecair tiga suku cawan itu berwarna coklat.

Beliau kemudian berpatah balik ke restoran McDonald’s dan memaklumkan dia baru sahaja minum sejenis kimia.

Dia kemudian ditawarkan minuman tersebut namun Sarah enggan menerimanya.

Seorang pekerja memaklumkan kesilapan itu berlaku kerana mesin latte telah disambungkan kepada alat pembersih untuk mengeluarkan sisa susu.

Pemilik francais itu, Dan Brown telah untuk meminta maaf kepada Sarah dan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian itu.

“McDonald’s terkenal dengan protokol keselamatan makanannya dan saya minta maaf tentang kejadian yang berlaku di restoran saya di Lethbridge.

“Apa yang berlaku ialah mesin sedang dibersihkan setiap pagi. Malangnya, saluran bekalan susu disambungkan ke mesin pembersih semasa minuman itu dibuat,” kata Brown.

Menurut Brown, pihaknya telah mengambil tindakan segera untuk menyemak prosedur pembersihan yang sepatutnya dan telah menambah papan tanda tambahan sebagai peringatan. – MalaysiaGazette