Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran bercakap kepada media ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 OGOS 2018
M. Kula Segaran
IPOH – Kerajaan dijangka memuktamadkan kadar kenaikan gaji minimum untuk peringkat awal pada mesyuarat kabinet Jumaat ini, kata Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran.

Beliau berkata, buat masa ini jumlahnya belum diputuskan namun kadarnya akan diseragamkan antara pekerja di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Moga ada berita baik nanti,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kerusi roda kepada 20 penerima di Kampung Tawas dan Kampung Kepayang, di sini hari ini.

Katanya buat masa ini gaji minimum pekerja di Sabah dan Sarawak adalah sekitar RM800 dan RM920 manakala di Semenanjung pula RM1,000 sebulan.

Kula Segaran yang juga Anggota Parlimen Ipoh Barat berkata kenaikan kadar gaji minumum kepada RM1,500 itu akan dilaksana secara berperingkat dalam tempoh lima tahun agar tidak membebankan majikan.

“Kita bukan naikkan RM1,500 sekali gus. Jika kita lakukan sedemikian akan menyusahkan syarikat swasta kerana pendapatan mereka akan berkurangan sehingga menyebabkan perniagaan tidak boleh beroperasi,” katanya.

Penyeragaman gaji minimum kepada RM1,500 dalam tempoh lima tahun ini terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan. — BERNAMA