Sesi fotografi bersama pelakon, Nor Albaniah (kanan), Miss International Malaysia 2016, Olivia Constance (kiri), ereka fesyen, Anas Abdullah (tengah) dan anaknya, Nur Iman Arissa pada sesi fototografi sempena program amal T-21 di Setiawalk Puchong, Selangor. foto IQBAL BASRI, 25 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Semuanya bermula sebagai persahabatan antara seorang pereka fesyen dan ratu yang menjadi model secara sambilan.

Mereka selalu berurusan tentang busana dan sesekali berjumpa di butik untuk berbincang tentang rekaan terbaharu.

Namun tanpa disangka, kemunculan anak pereka fesyen yang mengalami sindrom Down mencuit hati Miss International Malaysia 2016, Olivia Constance.

Keletah Iman Arissa yang berusia lima tahun yang petah bercakap, tidak malu-malu serta pandai bergaya persis model cilik menyuntik idea kepada Olivia.

MGF25072018_Sesi Fotografi Artis Reiden Winner Film_15
Anas Abdullah bersama anaknya, Nur Iman Arissa.

Kata wanita berusia 27 tahun itu kepada bapa Iman, Anas Abdullah, anak kecil itu boleh pergi jauh dan perlu didedahkan dengan aktiviti yang terus merangsang mindanya.

Lantas timbul program amal dikenali T-21 iaitu pertunjukan fesyen yang akan digayakan oleh kanak-kanak senasib dengan Iman.

Kebetulan pula, Persatuan Sindrom Down Malaysia iaitu tempat Iman belajar sedang mencari dana sebanyak RM200,000 untuk membina sebuah bangunan.

Jelas Anas, T-21 akan mengumpul seramai 20 hingga 30 anak sindorm Down untuk beraksi di atas pentas dan bakal dimasukkan dalam Malaysia Book Of Records.

MGF25072018_Sesi Fotografi Artis Reiden Winner Film_16
Program amal T-21 turut mendapat tajaan dan kerjasama daripada Winner Films & Entertainment.

“Kami merancang untuk mengadakan program amal pada majlis minum petang di sebuah hotel atau pusat konvensyen pada awal tahun depan.

“Kami kini sedang mencari penaja yang berminat dan respon yang diterima kini daripada beberapa pihak amat menggalakan,” katanya yang turut memiliki seorang lagi anak perempuan bernama Qaseh Aleesya.

Jelas Anas, beliau dan Olivia turut merancang untuk membuka portal membeli-belah yang berkaitan dengan pakaian kanak-kanak khas rekaannya dalam masa terdekat.

Jelas beliau, sebahagian jualan itu nanti akan disumbangkan kepada dana Persatuan Sindrom Down  Malaysia.

MGF25072018_Sesi Fotografi Artis Reiden Winner Film_11 (1)
Anas Abdullah akan mereka pakaian untuk kanak-kanak sindrom Down pada pertunjukan fesyen dalam program amal T-21.

Sementara itu, Olivia yang seorang peguam berkata, pengalaman menyertai pertandingan ratu cantik mendedahkan minat dalam dirinya untuk membuat kebajikan.

Apatah lagi jelasnya, beliau melihat isu anak sindrom Down masih menjadi taboo apabila terdapat ibu bapa masih malu memiliki anak istimewa.

Katanya, kesedaran perlu diperluaskan agar ibu bapa terbabit tidak perlu mengasingkan kanak-kanak itu untuk mengelak daripada diketahui oleh masyarakat.

“Anak-anak sindrom Down perlu didedahkan dengan aktiviti seperti anak normal biasa supaya dapat berdikari sendiri apabila dewasa.

MGF25072018_Sesi Fotografi Artis Reiden Winner Film_12
Olivia Constance mahu membantu lebih ramai anak-anak sindrom Down dengan aktiviti bersama masyarakat pada masa akan datang.

“Kita perlu melihat bagaimana negara luar yang begitu menghargai anak sindrom Down dan memberi layanan sama rata hingga mereka mampu bekerja dalam komuniti dan mendapat gaji seperti masyarakat lain.

“Jadi anak-anak sindrom Down ini perlu didedahkan dari peringkat awal untuk berani berdepan masyarakat apatah lagi kanak-kanak di luar mampu menjana pendapatan di usia muda dengan menjadi model cilik,” katanya bersungguh-sungguh.

Olivia menambah, apa yang membuat beliau semakin bersemangat apabila T-21 akan mendapat kerjasama Persatuan Malayalee Klang.

Malah lebih teruja jelas beliau, rakan-rakan ratu di luar negara sudah mula mempromosi program amal itu di laman sosial mereka.

“Saya juga telah mendekati beberapa pemimpin kerajaan dan mereka menunjukkan minat untuk hadir pada program ini nanti,” katanya tersenyum.

MGF25072018_Sesi Fotografi Artis Reiden Winner Film_09
Program amal T-21 dijadualkan berlangsung pada awal tahun depan.

Sementara itu, syarikat korporat atau individu yang ingin bekerjasama atau menaja program amal T-21 itu boleh menghubungi talian 016-6930055 untuk maklumat lanjut.

Dalam pada itu, syarikat produksi tempatan, Winner Films & Entertainment tampil memberi penajaan berbentuk wang tunai kepada T-21.

Diketuai Eksekutif Jenamanya yang juga pelakon, Nor Albaniah, pihaknya juga turut menyediakan tajaan peralatan kamera, video dan studio yang diperlukan pada program itu nanti atau tujuan promosi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast