KUALA LUMPUR – Debaran siapakah yang bakal mencabar ‘tulang belakang’ Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan nombor satu parti berakhir dengan tepukan gemuruh pada jam 5.01 petang tadi.
Untuk jawatan Presiden, Anwar Ibrahim secara tidak rasmi menang tanpa bertanding, sekali gus mengambil alih jawatan tersebut dari isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang tidak mempertahankan jawatan tersebut.
Keputusan rasmi akan diumumkan pada 19 Ogos ini.
Anwar yang sebelum ini merupakan Ketua Umum PKR, menang apabila tidak ada seorang pun pencabar yang mahu mencabar beliau untuk menerajui parti yang diasaskan pada 1998.
Sebelum ini wujud spekulasi Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal mencabar Anwar pengumuman beliau beberapa minggu lepas.
Azmin Ali akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden, sekali gus membuktikan beliau setia kepada kepimpinan Anwar tidak berbelah bahagi.
Azmin akan menghadapi saingan sengit daripada bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang menyerahkan borang pencalonan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden awal melalui seorang wakil.
Sementara itu 10 calon menyerahkan borang bagi bertanding jawatan Naib Presiden iaitu William Leong, Micheal Tamil, Nurul Izzah Anwar, Xavier Jayakumar, Tian Chua, Datuk Johari Abdul, Kesavan Subramaniam, Datuk Dr Balasubramaniam, Zuraida Kamaruddin dan Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula menyaksikan pertandingan antara Akmal Nasir, Najwan Halimi dan Dr Afif Bahardin.
Jawatan Timbalan AMK pula antara Naqiuddin Nazrin, Mohd Hilman Idham dan Raymond Ahuar.
Pertandingan bagi Ketua Wanita pula antara antara Fuziah Salleh dan Haniza Talha manakala timbalan bagi sayap itu antara Daroyah Alwi dan Rodziah Ismail. – Malaysia Gazette