KUALA LUMPUR – Letih menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 menjadi antara punca peratusan pengundi yang keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Selangor merosot.

Penganalisis Sosiopolitik dari Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, pengundi agak gusar dengan situasi dua lagi PRK yang akan berlaku di negeri itu secara berderetan antara Ogos dan September ini.

Katanya, selepas PRK Sungai Kandis berlangsung, dua lagi PRK akan berlaku di DUN Balakong 8 September ini manakala DUN Seri Setia yang akan diputuskan hari mengundi minggu hadapan.

“Mereka sudah letih mengikuti kempen, ceramah dan mengundi PRU14 9 Mei lalu, dan tidak sampai 90 hari PRK pula menyusul menyebabkan mereka kecewa.

“Malah, pengundi sudah membuat ketetapan jika mereka keluar mengundi dan sekiranya BN menang pun, ia tidak akan mengubah pemerintahan semasa negeri mahupun Kerajaan  Pakatan Harapan.

“Seingat saya, jika tidak silap inilah kali pertama peratusan keluar mengundi yang paling rendah pernah direkodkan dalam sejarah PRK negara,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette sebentar tadi.

Dalam keputusan PRK DUN Sungai Kandis, kerusi itu kekal milik PKR apabila calonnya Mohd Zawawi Ahmad Mughni menewaskan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dengan majoriti 5,842 undi.

Mohd Zawawi memperolehi  15,427 undi manakala Lokman sekadar 9585 undi dan calon bebas K. Murthy hilang wang pertaruhan apabila hanya memperolehi 97 undi.

Kemenangan PH kali ini dikatakan tidak membanggakan apabila majoritinya merosot berbanding yang diperolehi Allahyarham Mat Suhaimi Shafiei iaitu 23,998 undi pada PRU lepas.

Kali ini 49.4 peratus pengundi sahaja yang keluar menunaikan tanggungjawab berbanding jumlah keseluruhan 51,217 pengundi berdaftar di DUN itu.

Pengundi juga katanya, tidak mempedulikan sangat PRK kali ini kerana agenda utama mengubah kerajaan lama berusia 60 tahun sudah selesai dan tidak sanggup berbalik semata-mata PRK.

“BN dah dijatuhkan, isu 1MDB, GST kesemuanya sedang diambil tindakan, jadi apa lagi yang mereka nak, pengundi sudah menganggap PRK tidak lagi penting,” katanya.

Tambah beliau, pengundi Sungai Kandis juga secara tersembunyi menunjukkan tanda protes dengan tidak keluar mengundi kali ini.

Katanya, tanda protes pengundi Sungai Kandis adalah dalam konteks manifesto kerajaan baharu Pakatan Harapan yang dijanjikan dalam 100 hari.

“Mereka tak keluar mengundi seolah olah memberi isyarat atau mesej tegas yang mana PH dilihat tidak mampu menunaikan manifesto PRU14 lalu itupun hanya 2 daripada 10 sahaja dilaksanakan.

“Malah kenyataan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad bahawa ‘manifesto itu bukan kitab yang wajib dipatuhi’, selain isu agama, bahasa dan UEC yang dimainkan dalam kempen BN turut menyebabkan pengundi mengambil pendirian lebih baik tidak keluar mengundi.

Dalam pada itu, pemilihan calon oleh parti yang gagal mempertimbangkan faktor kesihatan turut menyebabkan pengundi kesal terhadap PRK.

Jelas beliau, pada masa akan datang, kerajaan atau mana-mana parti politik yang bertanding pemilihan perlu memilih calon yang sesuai.

“Calon yang tak cergas dari segi kesihatan perlu dielak kerana ia ternyata menjejaskan kepercayaan rakyat serta prestasi perkhidmatan calon di sesebuah kawasan.

“Patut cari calon sesuai, wakil rakyat yang tak dapat bersama dengan penduduk dan asyik bercuti atas faktor kesihatan juga memungkinkan rakyat berasa hampa.

“Pada masa akan datang pemeriksaan berkala kesihatan terhadap setiap wakil rakyat baik di peringkat DUN dan Parlimen perlu digalakkan memastikan situasi ini dihendarkan,” tegas beliau.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast