Tuduhan yang mendakwa Biro Tata Negara (BTN) bersifat rasis serta membazirkan dan menyalahgunakan dana awam adalah tidak benar, kata Ketua Pemuda Kebangsaan Parti Makkal Sakti Malaysia dan Yayasan Sakti A. Manimaran.

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum bersedia untuk memansuhkan Biro Tata Negara (BTN) walaupun mendapat desakan segelintir pihak mahu agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) ditutup.

Sebaliknya, menurut Timbalan Menteri di JPM (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Dr. Md. Farid Md. Rafik, pihaknya sedang memperhalusi agensi tersebut sebelum membuat apa-apa keputusan.

“Ketika ini, kerajaan sedang memperhalusi fungsi BTN, mengkaji kembali modul yang sedia ada. Objektif dahulunya untuk menerapkan nilai-nilai murni selain daripada menanam semangat patriotik perlu dikembalikan.

“Saya ambil maklum desakan pelbagai pihak namun ketika ini kerajaan melihat penubuhan sedang diperhalusi dengan semangat ‘Malaysia Baru’. Kita masih pentingkan perpaduan dan semangat patriotik. Mungkin kita akan melakukan penjenamaan semula atau baik pulih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad (PH) tentang pendirian kerajaan memansuhkan agensi yang berada di bawah JPM ketika ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengkaji cadangan memansuhkan BTN yang dikemukakan beberapa pihak.

Kata beliau, ini kerana kerajaan mendapati BTN dan beberapa organisasi lain ditubuhkan untuk kepentingan Barisan Nasional (BN). – MalaysiaGazette