Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan walaupun komunis tidak membawa bala tentera seperti negara Barat untuk menjajah negara, namun fahaman itu telah menjajah pemikiran rakyat sebelum direkrut menjadi anggota Bintang Tiga itu.

Beliau berkata, penjajahan komunis lebih berbahaya daripada bala tentera dari negara Barat kerana ia mempengaruhi rakyat pelbagai kaum di negara ini secara halus dan memberi kesan yang buruk kepada semangat nasionalisme.

“Memang mereka juga menentang penjajah Barat, tetapi mereka juga adalah bala tentera penjajah pemikiran komunis, di mana bahayanya lebih besar dari bala tentera penjajah Barat yang berkulit putih itu.

“Ini kerana fahaman komunis itu membunuh akidah secara ekstrem. Adapun penjajah Barat secara lebih terang-terangan dapat dilihat wajahnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas gesaan aktivis Fadiah Nadwa Fikri yang menggesa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menilai semula buku teks sejarah dan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan golongan berhaluan kiri termasuk Parti Komunis Malaya (PKM).

Menurut Fadiah Nadwa dalam forum Perlukah Kita Menulis Semula Buku Sejarah? pada 29 Julai lalu, golongan kiri turut sama berjuang untuk kemerdekaan negara.

Abdul Hadi menegaskan, umat Islam yang dijajah oleh fahaman komunis itu menerima akibat lebih dahsyat daripada penjajahan Barat yang mana kesannya masih dapat dilihat hingga ke hari ini.

“Pemimpin generasi awal Pas seperti Almarhum Dr. Burhanuddin Al-Helmy yang menentang penjajah British tidak bersama komunis ke dalam hutan.

“Bahkan mereka juga menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menentang komunis, bukannya menangkap ikut suka hati.

“Saya dapati ijtihad pemimpin kita yang sama-sama menentang penjajah Barat, tiba-tiba menentang komunis adalah tepat kerana menentang musuh yang lebih berbahaya hendaklah diutamakan,” katanya.

Katanya, mereka yang berpihak kepada fahaman komunis ini perlu dimaafkan kerana kejahilan mereka dalam sejarah awal wujudnya komunis dan disebarkan ke tanah air.

“Kita mengharapkan mereka yang menjadi mangsa kekejaman komunis itu mendapat kelebihan para syuhada’ kerana menentang musuh Islam yang lebih besar.

“Mereka yang berpihak kepada komunis itu diampunkan dosa kerana kejahilannya. Inilah dia Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast