Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad (dua kanan) diiringi Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah (dua kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif CRM, Dr. Akhmal Yusof (kiri) dengan Ketua Pegawai Akses FIND, Zachary Katz (kanan) pada majlis Perjanjian Antara Penyelidik Klinikal Malaysia (CRM) dan Penyelesaian Untuk Diagnosi Baru Inovasi (FIND) di Pulse Grande Hotel, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 06 OGOS 2018
PUTRAJAYA – Kira-kira 500,000 penduduk negara ini merupakan suspek Hepatitis C dan memerlukan saringan, ujian pemeriksaan serta rawatan segera.
Bagaimanapun, sebahagian besar mereka tidak menyedari risiko Hepatitis C sehingga menjadi beban sosial yang harus ditangani secara serius.
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kajian pada 2009 menunjukkan lebih 400,000 penduduk negara ini berisiko menghidapi Hepatitis C dan 2.5 peratus berumur antara 15 hingga 64 tahun.
“Namun kini saya bimbang ia sudah pun berada pada tahap tinggi dan dijangka terus meningkat untuk 10 tahun akan datang apatah lagi menjelang 2039 nanti lebih 60,000 kematian dijangkakan akibat virus Hepatitis C,” katanya dalam sidang media hari inio.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara CRM dan Foundation for Innovative New Diagnostics (FIND) yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah di sini.
Tambah beliau, pada tahun 2016, saringan Hepatitis C telah dikendalikan di lima hospital kerajaan dan sebuah hospital universiti untuk mengumpul bukti dan data menggunakan dadah yang dibenarkan dengan kerjasama Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi) dan Clinical Research Malaysia (CRM).
Jelas beliau, hasil keputusan menunjukkan 97 peratus daripada mereka mampu dirawat dan dipulihkan dan terbukti selamat dan efektif tetapi ujian klinikal secara berterusan diperlukan.
“Inilah sebabnya perlu memastikan Malaysia mempunyai ujian klinikal yang berkualiti setaraf global dalam menangani hepatitis C dan hasil ujian itu berpotensi menurunkan kos rawatan Hepatitis C serendah RM1,200 berbanding RM387,000 ketika ini.
“Sementara menghasilkan data klinikal tepat, Kementerian Kesihatan sangat proaktif dalam memastikan rawatan Hepatitis C disediakan di 22 hospital kerajaan di seluruh negara di bawah lesen mandatori daripada keraaan yang akan meletakkan Malaysia dalam peta dunia.
“Usaha itu tidak harus terhenti di sini, kerana tahap kesedaran rakyat mengenai hepatitis C berada pada tahap sangat rendah menyebabkan ujian saringan, diagnosis dan penjagaan kesihatan oleh pihaknya tidak mencapai objektif.
“Itulah menjadi punca kita berdepan cabaran untuk mengenalpasti mereka yang menghidap Hepatitis C dan merawat mereka tetapi kerjasama strategik bersama Foundation for Innovative New Diagnostics (FIND) and the Drugs for Neglected initiative (DNDi) dengan CRM diyakini mengatasi halangan tersebut,” ujar beliau.
Sementara itui, Dzukkefly berkata, saringan menggunakan ujian diagnosis yang ditetapkan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) akan dijalankan di 25 klinik kesihatan, lima hospital daerah yang mana pesakit boleh mendapat penjagaan rapi.
Tegas beliau, projek bertempoh dua tahun itu membabitkan 50,000 orang dalam ujian saringan dan pemeriksaan manakala 1,200 orang daripadanya akan dirujuk kepada rawatan pemulihan.
“Hasil bukti yang kita kumpul daripada projek berkenaan dengan bantuan kit baharu diagnos Hepatitis C akan dijadikan garis panduan menguruskan penyakit itu dengan ubat moden yang lebih berkesan.
“Garis Panduan Kebangsaan itu akan mencerminkan kaedah saringan baharu untuk diagnosis, rawatan dan pemantauan bergantung kepada hasil penyampaian efektif kedua-dua projek itu.
“MoU antara CRM dan FIND menandakan batu loncatan terpenting dalam mencapai sasaran WHO dalam memerangi penularan Hepatitis C yang mana mensasarkan 90 peratus populasi manusia disaring dan didiagnos manakala 80 peratus dirawat menjelang 2030,” tegas beliau. – MalaysiaGazette