KUALA LUMPUR – Selepas 13 minggu jualan asing, pelabur global kembali semula dalam pasaran Malaysia.
Setakat ini, dana global telah menjadi pembeli bersih saham tempatan selama 15 daripada 31 minggu.
MIDF Research berkata, berdasarkan data awal, dana global terkumpul bersih minggu lalu sebanyak RM348.9 juta.
Manakala jumlah aliran keluar dana asing hanya melibatkan sejumlah kecil iaitu RM39.2 juta pada minggu lalu.
Pada hari Selasa yang merupakan hari dagangan terakhir untuk bulan Julai, pelabur asing mencatatkan peningkatan bersih RM343.5 juta, aliran masuk terbesar dalam sehari sejak 19 April 2018 berikutan lawatan Menteri Luar China, Wang Yi ke Malaysia dalam meningkatkan prospek hubungan dua hala yang lebih baik antara kedua-dua negara.
Pembelian asing diteruskan pada hari Rabu tetapi pada kadar perlahan sebanyak RM151.3 juta, susulan berita Amerika Syarikat dan China akan kembali berunding untuk mengurangkan ketegangan perdagangan antara kedua-dua kuasa besar ekonomi itu.
FBM KLCI memberi reaksi dengan merekodkan lonjakan 0.23 peratus kepada penutup tertinggi 48 hari dagangan kepada 1,788 mata, menurut firma penyelidikan itu.
Pelabur asing merekodkan jualan sebanyak RM123.7 juta pada hari Khamis selepas Amerika Syarikat mencadangkan tarif lebih tinggi iaitu 25 peratus untuk import China bernilai AS$200 bilion.
Walau bagaimanapun, dana global menokok dalam saham tempatan bernilai RM17.0 juta pada hari Jumaat, menjejaki keuntungan daripada peningkatan semalaman di Wall Street.
Pengurusan Air Selangor juga mengumumkan cadangan tawaran pengambilalihan Splash bernilai RM2.6 bilion pada hari yang sama.
MIDF Research berkata, selama 3 bulan yang lalu, aliran keluar bersih asing telah beransur-ansur berkurangan daripada RM5.6 bilion diikuti RM4.9 bilion pada bulan Jun manakala Julai hanya menyaksikan nilai jualan bersih asing RM1.7 bilion.
Di antara 4 pasaran ASEAN yang dijejaki, Malaysia mempunyai paras terendah kedua iaitu sebanyak AS$2.11 bilion atau RM8.45 bilion selepas Filipina.
Purata nilai dagangan harian (ADTV) di pasaran runcit merosot di bawah paras RM1 bilion minggu lepas.
Walau bagaimanapun, ADTV pelabur asing kekal kukuh di atas RM1 bilion pada RM1.16 bilion. – MalaysiaGazette