Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bercakap kepada media ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 OGOS 2018
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bercakap kepada media ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menyifatkan Parlimen Permatang Pauh kini adalah cinta abadinya selepas cinta pertama di Parlimen Lembah Pantai.

Jelas beliau, banyak agenda telah dirancang dan komited untuk membangunkan parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Justeru tegasnya, kerusi Parlimen Permatang Pauh akan terus dipertahankan sehingga penggal Parlimen berakhir.

“Sebelum ini saya sebut di Parlimen, penggal pertama dan kedua di Lembah Pantai adalah cinta pertama saya dan Permatang Pauh adalah cinta abadi saya.

“Saya kini komited dan terdapat banyak agenda untuk dilaksanakan di sana dan baru-baru ini saya telah melancarkan Rumah Reka Pameran Batik.

“Jadi saya akan kekal di Permatang Pauh sehingga akhir tempoh penggal ini,” katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada bersedia memberi laluan kepada bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menduduki kerusi yang pernah diwakili Ketua Umum PKR itu.

Semalam, Anwar diisytihar menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR sekali gus membuka laluan untuk Kerajaan Pakatan Harapan (PH) meneruskan pelan melantik beliau sebagai Perdana Menteri.

Anwar telah mendapat pengampunan diraja dan senario itu membolehkan beliau bertanding pada pilihan raya untuk menjadi Ahli Parlimen dan seterusnya diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan.

Pagi tadi, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut mengesahkan akan mempertahankan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Pandan.

Timbalan Perdana Menteri itu juga mahu mengekalkan semua jawatan dalam Kabinet. 

Selain menjadi Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah turut memegang portfolio Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. – MalaysiaGazette