Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Hasrat kerajaan untuk mewujudkan kereta nasional ketiga akan mendatangkan kesan kewangan yang besar kepada rakyat.

Malah, langkah itu juga tidak termasuk dalam mana-mana bahagian di dalam kempen dan juga manifesto Pakatan Harapan (PH), kata Naib Presiden Keadilan, Rafizi Ramli.

Menurutnya, pelaksanaan sesuatu yang tidak popular dan bertentangan dengan tawaran kerajaan PH hanya akan mengundang rasa sinis rakyat.

“Saya ingin melahirkan rasa bimbang sekiranya Kerajaan Persekutuan secara berterusan mahu meneruskan projek ini dalam keadaan tentangan rakyat terhadapnya adalah jelas.

“Pakatan Harapan dipilih atas platform untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat.

“Sementara rakyat masih memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk melaksanakan janji-janji manifesto (walaupun ada yang tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh 100 hari), melaksanakan sesuatu yang tidak popular dan bertentangan dengan tawaran Pakatan Harapan akan mengundang rasa sinis rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Rafizi yang juga calon bertanding Timbalan Presiden PKR itu berkata, sejak Buku Jingga ditulis pada 2010, parti-parti yang menjadi majoriti di dalam PH secara berterusan menyatakan hasrat untuk menghapuskan duti eksais yang dikenakan ke atas penjualan kereta kerana cukai kereta itu dilihat sangat membebankan.

Beliau menjelaskan, cukai eksais banyak dikaitkan dengan usaha melindungi kereta-kereta nasional yang akhirnya menyebabkan harga kereta menjadi lebih mahal berbanding negara-negara lain.

Katanya kagi, Platform dasar yang mahu menghapuskan cukai eksais demi menurunkan harga kereta ini tidak pernah berubah selepas PH ditubuhkan.

“Berapa pelaburan yang perlu dibuat menggunakan dana awam?

“Badan kerajaan mana (GLC, GLIC atau MOF Inc) yang akan mengambil tanggungjawab melaksanakan projek ini?

“Adakah Kerajaan Persekutuan berhasrat menghapuskan cukai eksais untuk mengurangkan harga kereta, apabila kereta nasional ketiga dilancarkan?

“Apabila Menteri Pembangunan Usahawan telah menetapkan tempoh masa yang khusus iaitu pelancaran projek kereta nasional ketiga menjelang tahun 2020, saya tertanya-tanya sama ada satu perancangan khusus yang menilai kesan kewangan kepada negara telah dijalankan?,” ujarnya yang menimbulkan persoalan.

Sehubungan itu katanya, bagi mengurangkan sindiran dan serangan ke atas Kerajaan Persekutuan beliau menyeru agar supaya perkara tersebut dipertimbangkan kembali.

Tambah Rafizi, memandangkan ia bersabit perkara dasar adalah wajar jika ia dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan terlebih dahulu untuk mendapat persetujuan bersama parti-parti yang membentuk PH.

Ini kerana katanya, keputusan yang bersabit perkara dasar mestilah diperhalusi secara prinsipnya di peringkat PH sebelum boleh dilaksanakan melalui Jemaah Menteri.

“Pandangan saya ini akan mengundang pelbagai kontroversi.

“Saya tidak begitu bimbang dengan serangan dari dalam dan luar apabila saya menyuarakan pandangan-pandangan berhubung kebajikan rakyat seperti ini kerana saya yakin pentadbiran Pakatan Harapan lebih terbuka dengan pandangan dan kritikan membina,” katanya. – MalaysiaGazette

 

Projek kereta nasional ketiga dilancar pada tahun 2020