Jawatankuasa Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bercakap kepada media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 JUN 2018.
Zeti Akhtar Aziz

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan dengan pihak-pihak berkepentingan telah ditangguhkan buat masa ini.

Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, penangguhan itu kerana tugas Majlis Penasihat Kerajaan hampir selesai dan kini dalam proses menyediakan laporan penuh, menurut laporan Bernama.

Majlis itu ditubuhkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejurus selepas mengambil alih pemerintahan.

Selain Zeti, majlis tersebut disertai oleh lima ahli terdiri daripada Tun Daim Zainuddin, Robert Kuok, Tan Sri Hassan Merican dan Prof Jomo Kwame Sundram bertindak memberi nasihat mengenai ekonomi, kewangan dan pelbagai isu lain.

Sejak 12 Mei lalu, majlis itu ‘berkampung’ di Menara Ilham untuk bertemu dengan pelbagai pihak kerajaan, swasta, pertubuhan, persatuan dan individu yang berkaitan dengan sektor dan industri masing-masing.

Dalam pada itu, Zeti yang juga Penasihat Permodalan Nasional Berhad memberitahu, beliau dan pengurusan organisasi pelaburan terbesar negara akan mengadakan pertemuan dengan media bagi menjelas hala tuju. – MalaysiaGazette