Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Langkah Indonesia yang bersetuju untuk menyerahkan kapal mewah Equanimity bernilai AS$250 juta (RM1 bilion) dihargai oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Perdana Menteri secara peribadi berterima kasih kepada kerajaan republik itu kerana memberikan kerjasama baik dalam usaha Putrajaya untuk menyelesaikan siasatan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam nada gembira, Mahathir berkata, dengan penyerahan kapal itu, ia akan dapat menyelesaikan satu daripad kes yang menjadi keutamaan beliau sejak mentadbir kerajaan pada 9 Mei lalu.

“Saya betul-betul berterima kasih dengan kerajaan Indonesia dan terutamanya kepada Presiden Jokowi yang begitu bekerjasa rapat dengan Malaysia untuk selesaikan masalah yang dihadapi oleh Malaysia.

“Ia akan dapat menyelesaikan satu daripada masalah yang kita hadapi kerana kapal ini milik kerajaan Malaysia kerana dibeli dengan duit Malaysia yang dicuri oleh pihak tertentu,” katanya dalam satu video hari ini.

Pada Sabtu lalu, kerajaan Indonesia bersetuju untuk menyerahkan sebuah kapal mewah itu kepada kerajaan Malaysia.

Kapal Equanimity yang berdaftar di Kepulauan Cayman itu dirampas pada Februari lalu atas permintaan pihak berkuasa AS, sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah membabitkangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dilancarkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

Mengulas mengenai itu, Mahathir berkata, buat masa ini tiada individu yang mengaku memiliki kapal mewah berkenaan.

“Kalau ada mana-mana pihak yang ingin dakwa bahawa kapal ini mereka punya, boleh tunjuk bukti.

“Kita ingin tahu dari mana mereka dapat wang begitu banyak untuk membeli kapal yang begitu mahal harganya. Kalau mereka tidak dapat buktikan bahawa duit itu datang dari mereka sendiri dan bukan duit yang dicuri maka mereka berhak mendapat balik kapal ini balik,” katanya lagi. -MalaysiaGazette