Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Dakwaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi memiliki aset tunai berjumlah RM230 juta adalah tidak benar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong memberitahu, pihaknya tidak mempunyai sebarang bukti Ketua Pembangkang itu memiliki aset berkenaan.

Jelas Vui Keong, maklumat berhubung dakwaan tersebut tidak mempunyai sebarang keterangan atau maklumat yang menyokong kewujudan wang tunai berkenaan.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dakwaan berkenaan sekiranya terdapat bukti berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis lisan pertanyaan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh adakah kerajaan akan menyiasat dakwaan tersebut.

Sebelum ini, Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri pernah menyatakan kesediaannya untuk disiasat SPRM berhubung dakwaan memiliki wang tunai bernilai RM230 juta pada tahun 1996.

Zahid berkata beliau yang memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO ketika itu menegaskan beliau tidak memiliki sebarang jawatan dalam kerajaan dan merupakan ahli perniagaan yang berjaya dalam bidang korporat. – MalaysiaGazette