Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah bersedia untuk menerima mana-mana kerusi Parlimen.

Menurut beliau, ramai Ahli Parlimen parti itu bersedia untuk menyerahkan kerusi mereka bagi membolehkan Anwar bertanding.

“Kerana saya percaya beliau bukan sahaja sudah bersedia untuk kembali ke parlimen tetapi rakyat Malaysia juga bersedia untuk melihat kembalinya Anwar sebagai pemimpin di persada politik tanah air.

“Saya percaya banyak kerusi yang ada untuk Anwar, Lembah Pantai ada, Selayang ada, Setiawangsa pun ada, Pekan pun sama,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Bagaimanapun katanya, parti masih belum membincangkan perihal kerusi yang akan ditandingi oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Semalam, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen sedia mengosongkan kerusinya untuk memberi laluan kepada Anwar jika menerima arahan daripada parti.

Bagaimanapun, sehingga kini beliau masih belum diberitahu atau berbincang berkenaan pengosongan posisinya di Selayang demi membuka jalan kepada Anwar. -MalaysiaGazette