Home Ekonomi Ezam pertikai pelantikan Bakke sebagai Pengerusi MPOB

Ezam pertikai pelantikan Bakke sebagai Pengerusi MPOB

KUALA LUMPUR – Datuk Ezam Mohd Nor mempertikaikan pelantikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) baru-baru ini.

Pengerusi Hisbah Centre Reform (Hisbah) itu berkata, ini kerana Bakke pernah menjadi ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) .

“Mengekalkan kedudukan beliau sedia ada dalam GLC sementara siasatan menyeluruh terhadap 1MDB dituntaskan boleh diterima tetapi membuat pelantikan baru dalam sebuah agensi kerajaan adalah salah dan tidak boleh diterima sama sekali,” kata Ezam dalam satu kenyataan yang disiarkan di akaun Facebooknya pagi ini.

Malah, menurut beliau, nama Mohd Bakke juga sering dikaitkan dengan 1MDB dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung skandal syarikat berkenaan.

Ezam pernah memfailkan saman sivil terhadap Datuk Seri Najib Razak dan kesemua ahli Lembaga Pengarah 1MDB termasuk Bakke pada April 2017.

Semalam, MPOB mengumumkan pelantikan Mohd Bakke Pengerusi yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 31 Julai 2018.

MPOB menjelaskan, Mohd Bakke yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Sime Darby Plantations Bhd, dilantik berdasarkan mempunyai pengalamannya yang luas dalam industri minyak sawit.- MalaysiaGazette