Ir. Khairil Nizam Khirudin
Ir. Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng harus berasa malu apabila masih mengulangi hutang negara berjumlah lebih RM1 trilion bagi tujuan manipulasi persepsi rakyat.

Sedangkan, data terbaharu daripada Laporan Ketua Audit Negara 2017 jelas menunjukkan hutang Kerajaan Persekutuan pada tahun 2017 ialah RM686.8 bilion.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, hutang Kerajaan Persekutuan adalah melibatkan hutang dalam negeri berjumlah RM665.5 bilion, manakala hutang luar negeri RM21.2 bilion.

“Laporan Ketua Audit Negara 2017 juga selari dengan jawapan bertulis yang diberikan oleh Guan Eng kepada Ahli Parlimen Bukit Bintang pada 19 Julai 2018.

“Berdasarkan jawapan itu, Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa hutang kerajaan Persekutuan RM686.6 bilion atau 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, ini menunjukkan hutang sebenar kerajaan Persekutuan tidak melebihi RM1 trilion sebagaimana yang dimanipulasi oleh Kementerian Kewangan.

Menurut Ir. Khairil Nizam, jumlah RM1.08 trilion adalah merujuk kepada obligasi tunai Kerajaan Persekutuan sehingga tahun 2045.

“Menteri Kewangan harus bersikap profesional untuk tidak menimbulkan persepsi buruk mengenai kewangan kerajaan sehingga menjustifikasikan penangguhan kepentingan rakyat yang lain.

“Banyak kepentingan rakyat terpaksa ditangguhkan terutama projek di luar bandar kerana menggunakan alasan hutang kerajaan melebihi RM1 trilion,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast