Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali (kiri) bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 OGOS 2018
Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali (kiri) bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau tidak berjumpa dengan pegawai kanan republik itu sebagaimana yang didakwa negara jiran itu.

Jelas Azmin, beliau tidak menyatakan pertemuan itu adalah dengan pegawai kanan kerajaan, dan menyatakan ia hanyalah pertemuan dengan pihak berkuasa Singapura ketika melawat Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital di negara berkenaan.

“Mereka (Singapura) betul. Apabila saya sebut kepada media semalam, tidak sebut pun perjumpaan dengan pegawai kanan MOT?

“Saya katanya mereka betul (tidak jumpa pegawai kanan Singapura),” katanya sambil ketawa apabila ditemui media di lobi Parlimen.

Semalam, Azmin mendakwa beliau sudah berjumpa pihak berkuasa Singapura bagi membincangkan mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Bagaimanapun, Azmin tidak menyebut nama pegawai terbabit.

Awal hari ini, Kementerian Pengangkutan Singapura menafikan dakwaan Ahli Parlimen Gombak itu berhubung pertemuannya dengan pegawai kanan republik itu minggu lalu mengenai projek HSR.

Jurucakap kementerian itu berkata, tiada sebarang mesyuarat dijadualkan akan atau sudah berlangsung antara Mohamed Azmin dan pegawai dari Singapura berhubung projek berkenaan.

Dalam pada itu, Azmin berkata, adalah hak bekas Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli untuk merebut jawatan yang disandang beliau.

Ujarnya, keputusan ada di tangan ahli-ahli parti untuk memilih sesiapa sahaja sebagai Timbalan Presiden.

“Setiap ahli ada hak untuk tawarkan perkhidmatannya kepada parti.

“Saya sangat setia kepada parti terhadap perjuangan, ahli juga telah melihat tindakan saya dan saya juga bekerja untuk parti, jadi terserah kepada ahli untuk membuat keputusan,” katanya. -MalaysiaGazette