WASHINGTON – Amerika Syarikat akan mengenakan tarif lebih lanjutan barang-barang China mulai 23 Ogos ini, menurut perunding perdagangan.
Pelaksanaan tarif ini dijangka meningkatkan perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia.
Cukai import sebanyak 25 peratus akan dikenakan kepada kira-kira AS$16 bilion bagi nilai import tahunan, meliputi 279 jenis produk, termasuk semikonduktor dan jentera.
Tarif cukai ini merupakan sebahagian daripada pusingan lebih luas dikenakan ke atas pelbagai barangan bernilai AS$50 bilion yang diumumkan oleh Amerika Syarikat pada bulan Mac.
Amerika Syarikat kali pertama melaksanakan tarif ke atas China membabitkan barangan bernilai AS$ 34 bilion barangan yang telah berkuat kuasa pada bulan Julai.
Washington berkata, pelaksanaan tarif itu bertujuan untuk menghukum China yang mengamalkan perdagangan yang “tidak adil”, seperti peraturan yang memaksa syarikat-syarikat di sektor tertentu untuk mengambil rakan kongsi tempatan jika mahu melakukan perniagaan di negara ini.
Rundingan antara kedua negara berhubung isu-isu tersebut gagal untuk mencapai perjanjian, mendorong China untuk mengenakan tarif ke atas Amerika Syarikat.
Amerika Syarikat juga sedang menimbang untuk mengenakan tarif ke atas barang-barang bernilai AS$200 bilion yang lain, termasuk produk pengguna.
Trump mengancam untuk mengenakan semua import China dengan tarif baharu. – MalaysiaGazette















