Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kelihatan keluar dari Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 OGOS 2018.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kelihatan keluar dari Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan berkali-kali mendakwa kerajaan terdahulu yang diperintah Barisan Nasional (BN) bukan sahaja membebankan rakyat  dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) malah dana kutipan hasil GST sebanyak RM18 bilion turut ‘hilang’ dari akaun amanah.

Malah, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng (PH-DAP) berkata, tuntutan cukai ‘input’ yang dibuat oleh pengilang, pengeluar, pembuat atau peniaga dikembalikan dalam tempoh 14 hari selepas tuntutan dibuat tidak pernah dibayar sejak tiga tahun lepas.

Jumlah tunggakan bagi pembayaran cukai input GST sejak tahun 2015 sehingga tahun 2018, jumlahnya sudah mencecah sehingga RM19,397 juta.

“Seperti yang dikatakan, kedudukan tunggakan bayaran balik GST sehingga 31 Mei 2018 adalah sebanyak RM19.397 bilion sementara baki sedia ada dalam ‘tabung bayaran balik’ adalah sekitar RM1.486 bilion sahaja.

“Tunggakan bayaran balik adalah disebabkan kelemahan aliran tunai Kerajaan Persekutuan akibat kekurangan displin fiskal pembaziran berleluasa selain pertambahan hutang bertambah. Kerajaan lama melakukan pemalsuan akuan serta penyewelengan tunggakan bayaran balik cukai untuk kegunaan lain.

“Saya amat terperanjat apabila diberitahu tunggakan ini berlaku kerana kegagalan kerajaan lama memasukan kutipan GST ke dalam akuan amanah yang dikhaskan untuk bayar balik tuntutan cukai sebaliknya BN telah ‘merompak’ akaun amanah dengan memasukkan wang kutipan tunai hasil GST terus kepada kumpulan wang disatukan sebagai hasil untuk dibelanja dengan sewenang-wenangnya.

“Bukan sahaja wang ini tidak dipulangkan kepada rakyat malah digunakan untuk membiayai pelbagai projek kroni dan keperluan peribadi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan 2018 ketika sesi Dewan Rakyat di sini petang tadi.

Tambah Guan Eng, kerajaan secara terang-terangan tidak akan dapat menjamin tiada kenaikan harga barang selepas sistem percukaian baru dilaksanakan.

Namun demikian, beliau percaya kesannya hanya separuh sahaja dan rakyat tidak akan terbeban seperti apa yang berlaku sejak 1 April 2015 selepas pelaksanaan GST ketika itu.

Dewan Rakyat hari ini telah meluluskan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018 walaupun mendapat bantahan daripada ahli parlimen pembangkang dengan pelbagai fakta dan pandangan.

RUU SST akan dibentangkan di Dewan Negara pula selepas ini.

RUU itu sebahagian daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan dilaksanakan pada September ini. – Malaysia Gazette