Fuziah Salleh. foto MIRZA HASIM, 9 OGOS 2018
Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR – Kerajaan memahami dan bersedia membimbing serta mengadakan majlis dialog dengan golongan lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT) bagi mengatasi masalah berbangkit mengenai mereka dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, pendirian kerajaan adalah jelas, untuk tidak menyisihkan golongan itu bagi mengelakkan mereka pergi lebih jauh.

“Kita memahami mereka. Kita juga sedia membimbing mereka serta dialog dengan mereka, dan pendirian kita ialah kita tidak akan menyisihkan mereka, kerana kalau kita menyisihkan mereka dari masyarakat, mereka akan pergi lebih jauh.

“Kita melihat golongan ini perlu bimbingan sebenarnya. Jadi, pendiriannya kita ialah membantu mereka,” katanya pada sidang media selepas Forum Bicara Ad-Deen, Amalan Hijau di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah IKIM, Datuk Prof Dr Azizan Baharuddin.

Mengenai ruang umum dan ruang peribadi, Fuziah menjelaskan, apabila mereka mengamalkan kelainan tingkah laku dalam rumah, itu adalah hak mereka dan mereka bertanggungjawab pada Allah.

Tetapi, katanya, golongan itu sama sekali tidak boleh mengamalkan perbuatan berkenaan di khalayak ramai atau di ruang umum kerana mereka juga perlu menghormati hak orang ramai.

“Apabila kita hormat hak mereka, dalam hak asasi mereka juga kena hormat hak orang ramai. Jadi, hak majoriti juga harus kita beri perhatian. Sebab majoriti ini adalah masyarakat. Mereka ada hak dan harus dihormati,” katanya.

Berhubung pameran yang mempromosikan ikon LGBT di festival Goerge Town yang berlangsung di Dewan Sri Pinang di Pulau Pinang, ujar Fuziah, perbuatan itu sidah menjangkau ke ruang umum dan itu tidak sesuai.

“Apabila sudah timbul ikon, dipasang di papan iklan dan sebagainya itu promosi. Apabila dia terlibat dalam promosi, dia telah menjangkau ke ruang public, ruang orang ramai yang masing-masing ada hak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast