Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman (duduk dua kanan) menunjukkan kertas cadangan yang diserahkan kepada pengerusi FELDA pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan Majlis Permuafakatan NGO FELDA bersama Pengerusi FELDA di Menara FELDA, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 09 OGOS 2018
Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman (duduk dua kanan) menunjukkan kertas cadangan yang diserahkan kepada pengerusi FELDA pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan Majlis Permuafakatan NGO FELDA bersama Pengerusi FELDA di Menara FELDA, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 09 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) menaruh sepenuh kepercayaan terhadap kepimpinan pengerusi baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor dalam menangani pelbagai kemelut yang dihadapi peneroka.

Pengerusi MPNF Mazlan Aliman berkata berdasarkan input positif melalui pertemuan pertama kedua-dua pihak terbabit hari ini, matlamat utama Felda yang telah tersasar diyakini dapat diperbetulkan khususnya dalam membela nasib peneroka serta mereformasi semula imej agensi yang dibelenggu bermacam skandal itu.

“Kesediaan beliau (Megat Zaharuddin) berjumpa kami adalah sesuatu yang amat positif dan tidak pernah terjadi sebelum ini. Saya pernah menulis surat untuk bertemu dengan dua pengerusi sebelum ini ( Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Tan Sri Shahrir Abdul Samad) tetapi tiada maklum balas.

Sepanjang pertemuan hari ini, beliau bersungguh mendengar dengan teliti serta membuat catatan bagi setiap isu berbangkit serta memberi jaminan pertemuan tersebut akan disusuli perjumpaan berikutnya,” katanya kepada pemberita di Menara Felda, di sini.

Dalam pertemuan yang berlangsung lebih dua jam itu, MPNF turut menyerahkan dokumen cadangan  pembinaan semula Felda setebal 51 muka surat kepada Megat Zaharuddin sebagai panduan bagi kepimpinan baharu Felda.

Mazlan berkata dokumen itu mengandungi intipati cadangan serta pelbagai isu diutarakan komuniti  Felda seluruhnya, dan antara yang diberi penekanan ialah soal sara hidup peneroka, projek Perumahan Generasi Baru Felda, pengurusan kebun serta masalah hutang peneroka.-BERNAMA