Tommy Thomas
Peguam Negara, Tommy Thomas. foto SYAFIQ AMBAK, 04 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Peguam Negara Tommy Thomas hari ini mempertahankan keputusannya melantik seorang peguam daripada bekas firma guamannya untuk mewakili Kerajaan Malaysia dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dalam tuntutan ke atas kapal layar mewah Equanimity.

Menyatakan Sitpah Selvaratnam mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas dalam undang-undang perkapalan, beliau berkata dalam kenyataan media bahawa keputusan untuk melantik Sitpah “adalah keputusannya dan dibuatnya sendirian, kerana beliau menaruh kepercayaan dan keyakinan terhadap kebolehan dan integritinya”.

“Selvaratnam … tidak akan dibayar sebarang fi. Perkhidmatannya diberikan kepada kami tanpa sebarang caj ke atas pembayar cukai,” kata Thomas memberi penjelasan terhadap laporan media kenapa beliau melantik seorang peguam daripada bekas firma guamannya pada 6 Ogos untuk mewakili Malaysia dan 1MDB dalam kes kapal layar mewah itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Hujung minggu lepas, Selvaratnam dan Jeremy Joseph didatangi oleh pihak-pihak asing untuk mewakili mereka dalam perkara ini, dan mereka menolaknya.

“Ujian sebenar terhadap pengalaman dan kepakaran Selvaratnam akan terserlah jika, dan bila, Jho Low atau mana-mana pihak lain memohon untuk mengetepikan waran tangkap. Hujahan yang dikemukakan oleh semua pihak pada masa itu pastinya padat apabila Mahkamah mendengar perkara itu atas meritnya, dan adalah kritikal untuk Malaysia mempunyai peguam terbaik. Litigasi adalah perkara yang dinamik; sukar diramal di dalam mahkamah, dan kes Malaysia perlu berada dalam tangan yang selamat,” katanya. – BERNAMA