Ayam kampung dara goreng menjadi menu istimewa di Restoran Man Ayam Kampung Seri Kembangan.
Ayam kampung dara goreng menjadi menu istimewa di Restoran Man Ayam Kampung Seri Kembangan.

KUALA LUMPUR – Menikmati ayam kampung dara yang digoreng panas-panas dengan aroma menyelerakan pasti membuatkan perut merasa lapar.

Walaupun tidak mempunyai isi yang banyak dan selembut seperti ayam bandar peliharaan namun keistimewaan rasa ayam kampung dara ini hanya dapat dibuktikan selepas seseorang itu menjamahnya.

Jika anda bekerja atau tinggal di kawasan Seri Kembangan, Selangor, kini peluang merasai keenakan ayam kampung dara ini di Restoran Man Ayam Kampung di No. 54, Jalan BPP 8/4, Bandar Putra Permai.

Lebih 40 menu disediakan sebagai pilihan kepada pelanggan.
Lebih 40 menu disediakan sebagai pilihan kepada pelanggan.

”Inilah keistimewaan Restoran Man Ayam Kampung yang tidak terdapat di restoran-restoran lain di kawasan persekitaran sini.

“Kebiasaan pelanggan yang mengunjungi restoran ini pasti akan mencari ayam kampung goreng dahulu sebelum mengambil lauk-pauk lain. Lambat diambil, terpaksalah tunggu digoreng panas-panas dulu,” ujar pemiliknya, Mohd. Shahman Mohd. Yusoff yang ditemui di restoran tersebut baru-baru ini.

Beliau memberitahu, selain hidangan ayam kampung goreng, restoran yang mula dibuka pada Februari lalu juga terkenal dengan hidangan lebih 40 menu lain.

Sotong goreng gergasi hanya berharga RM10.
Sotong goreng gergasi hanya berharga RM10.

Katanya, terdapat juga bermacam-macam pilihan masakan kampung yang menyelerakan seperti gulai daging kawah, masak lemak siput sedut, sotong goreng gergasi dan sambal bilis kristal.

“Sambal bilis ini turut menjadi tumpuan kerana rasanya yang tidak pedas namun sedikit manis serta kelihatan berkilat yang menjadi keistimewaannya.

“Selain itu, turut disediakan 16 jenis ulam-ulaman seperti petai, daun selom, ulam raja pengga dan bendi bersama sambal belacan.

224B2955
Mohd. Shahman Mohd. Yusoff merupakan pemilik Restoran Man Ayam Kampung Seri Kembangan.

“Namun menu pelanggan tidak lengkap jika tidak mengambil budu yang diperah asam limau bersama cili padi bagi membangkitkan selera hingga ada yang tidak segan untuk menambah nasi putih lagi,” katanya yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan tetapi menetap di Kuala Lumpur sejak usia 18 tahun.

Mohd. Shahman berkata, beliau sendiri akan ke Pasar Borong berdekatan bagi mendapatkan bahan-bahan makanan seperti sayur-sayuran, ikan, daging, ayam dan sebagainya bagi mempastikan mutu makanan yang dijual sentiasa segar.

Beliau menambah, selain lauk-pauk dan hidangan ayam dara goreng, pelanggan boleh menikmati hidangan air minuman istimewa iaitu jus durian belanda dan jus mangga kisar.

Restoran Ayam Kampung Seri Kembangan berkonsepkan ala kampung.
Restoran Ayam Kampung Seri Kembangan berkonsepkan ala kampung.

Menurut bapa kepada seorang anak ini, pelanggannya ramai dalam kalangan pekerja pejabat, penduduk sekitar dan pelajar-pelajar berdekatan yang belajar di Cyberjaya.

Jelasnya, bukan sahaja pelanggan Melayu yang ramai berkunjung malah restoran ini mempunyai ramai pelanggan Cina yang gemar dengan makanan Melayu.

”Pelanggan lebih ramai dua kali ganda setiap hari Ahad kerana ramai penduduk sekitar yang menjamu selera di sini.

224B2833
Keenakan ayam kampung dara yang dimakan panas-panas.

“Kebiasaannya pada hujung minggu saya perlu menyediakan sekurang-kurang 150 ekor ayam kampung dara berbanding hari biasa hanya 90 ekor ke 100 ekor sahaja,” katanya yang menjadi contoh usahawan muda kerana baru berusia 25 tahun.

Restoran Man Ayam Kampung dibuka bermula pukul 11 pagi hingga 5 petang dan tutup pada hari Jumaat.

Sementara itu, orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut atau membuat tempahan sebelum datang ke Restoran Man Ayam Kampung Seri Kembang bolehlah menghubungi talian 011-1166 4410.

Restoran itu juga baru membuka cawangan kedua di Cyberjaya bulan lalu. – MalaysiaGazette