Kapal mewah Equanimity
Kapal mewah ‘Equanimity’ yang dipercayai milik seorang ahli perniagaan, Jho Low di Terminal Bousthead Cruise Center, Pelabuhan Klang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 11 OGOS 2018.

PELABUHAN KLANG – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan sebarang tempoh tertentu untuk Jho Taek Low atau Jho Low menuntut kembali kapal persiaran mewah Equanimity yang didakwa miliknya itu.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, kerajaan perlu menjual kapal mewah itu secepat mungkin untuk mengurangkan kos penyelenggaraan yang terpaksa ditanggung kerajaan.

“Tiada tempoh masa tertentu, kita akan jual kapal itu secepat mungkin. Selenggara kapal itu di sini (Malaysia) menelan kos RM3 juta sebulan yang kita terpaksa tanggung.

“Sebab itu kita mahu jual secepat mungkin. Kita terpaksa belanja wang yang banyak untuk menyimpan kapal itu dalam keadaan baik, ia bukan kapal biasa tapi kapal besar, semuanya ada di sana,” katanya pada sidang media di Terminal Boustead Cruise Centre hari ini.

Terdahulu, Mahathir dibawa mengunjungi keseluruhan bahagian kapal mewah itu yang dipercayai menggunakan duit yang dicuri daripada syarikat pelaburan nasional, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tun Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas melawat Kapal Equanimity di Terminal Bousthead Cruise Center, Pelabuhan Klang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 11 OGOS 2018.

Hadir sama Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng serta barisan peguam 1MDB.

Mahathir juga berkata, kapal yang dipercayai milik Jho Low yang dianggarkan bernilai RM1 bilion sebelum ini kini berharga sehingga RM600 juta.

“Kita akan iklankan di seluruh dunia dan kita sudah memiliki kapal ini di sini ia milik kita dan kita akan jual kapal ini.

“Nilai terkini RM400-600 juta sekarang, dianggarkan kos kapal ini RM1 bilion atau AS$250 juta,” katanya.

Katanya lagi, hanya orang yang benar-benar kaya sahaja layak untuk membida dan membeli kapal mewah tersebut.

“Kita ada semua dokumen dan melayakkan kita jual kapal ini. Dia beli kapal dengan duit yang dicuri daripada kita, sekarang kita akan jual kapal ini untuk dapatkan semula duit yang dicuri itu.

“Ada pihak yang berminat dan dia mesti benar-benar kaya, mungkin Bill Gates tawar sebab kapal ini sangat mahal, dia ada anak kapal sampai 35 orang dan pada masa ini ada 18 orang,” selorohnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast