Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

PETALING JAYA – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyambut baik teguran Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa menteri-menteri Kabinet perlu sensitif berhubung isu Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Menteri Belia dan Sukan itu bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri dan mengakui Mara merupakan institusi penting dalam memainkan peranan membantu rakyat dalam negara.

“Saya setuju dengan pandangan Tun Dr Mahathir, saya sama dengan kebanyakan anak muda Melayu lain yang pernah dibantu oleh Mara.

“Mara telah membantu dan berkhidmat bakti kepada berjuta-juta anak bangsa Malaysia

“Isu ini memang isu yang dekat di hati kita semua, sebab itu dalam bab ini kita perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Pertubuhan Cintai Malaysia di pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Subang.

Beliau percaya kedudukan Mara tidak akan terjejas selepas Pakatan Harapan menjadi Kerajaan Persekutuan, sebaliknya institusi itu perlu dibersihkan daripada penyelewengan.

“Seperti yang kita janjikan sebelum pilihan raya insitusi Mara dan perjuangannya akan kita kekalkan, yang akan kita perbaiki adalah urus tadbir, segala penyelewengan akan kita keluarkan, segala pembersihan kita akan buat,” jelasnya.

Sebelum ini, ada ura-ura Kerajaan Persekutuan mahu memecahkan Mara ke beberapa kementerian, sekaligus mengecilkan peranannya dalam membantu Bumiputera.

Cadangan itu kemudiannya ditentang Pengerusi Yayasan Kajian dan Pembangunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Datuk Syed Ali Alattas yang menganggap tindakan itu akan mencacatkan Mara.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula berpendirian bahawa tanggungjawab memperkasakan agenda Bumiputera akan berhadapan dengan kesukaran jika Mara dipisah-pisahkan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast