Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sambil diiringi Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa (dua kiri) dan Presiden Pertubuhan Cintai Malaysia, Datuk Dr. Zulkafperi Haji Hanafi (dua kanan) memasukkan wang ke dalam Tabung Harapan Malaysia sebagai melakukan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Pertubuhan Cintai Malaysia di Prestij Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2018

PETALING JAYA – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Cintai Malaysia yang dirasmikan hari ini melancarkan tabung bagi membantu Tabung Harapan Malaysia.

Sebanyak lebih kurang 25,000 tabung akan ditempatkan di restoran dan premis buat permulaan, kata Presidennya Datuk Dr Zukkafperi Hanapi.

“Kita bekerjasama dengan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dan Persatuan Pengusaha Restoran India (PRISMA) untuk meletakkan tabung-tabung di restoran mereka setakat ini. Dan mungkin kemudian akan diteruskan di Shell dan Petronas bagi menggalakkan rakyat membantu negara membayar hutang negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis perasmian.

Beliau bagaimanapun tidak menetapkan jangkaan jumlah dana yang boleh diraih oleh tabung fizikal yang disifatkan ‘pembantu Tabung Harapan Malaysia’ ini.

“Jangkaan dana sukar untuk kita ramalkan kalau kita kira RM100 untuk satu tabung dalam 25,000 tabung berapa? RM2 juta lebih. Mungkin RM10 satu tabung pun Alhamdulillah,”tambahnya.

Zukkafperi yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Sungai Buloh turut memberi jaminan dana kutipan NGO itu akan diserahkan secara terus kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas dikutip secara berperingkat.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula berkata, peranan untuk membantu kerajaan mengutip dana menerusi tabung fizikal tidak diterhadkan kepada NGO tertentu.

Bagaimanapun Syed Saddiq mahu kutipan yang dilakukan dilaksanakan dengan telus.

“Selagi usaha itu baik dan ada piawaian yang dipatuhi, tiada penyelewengan semua orang boleh menggerakkannya.

“Tapi kena ikut piawaian tidak boleh macam saya tiba-tiba pergi minta derma, kena ikut undang-undang sedia ada.

“Selagi undang-undang diikuti yang baharu dan yang lama (NGO lama dan baharu) semua dijemput,” kata beliau yang juga Ketua Pemuda PPBM.

Terdahulu Tabung Harapan Malaysia yang ditubuhkan pada 31 Mei dijalankan menerusi e-banking.

Jumlah terkini kutipan tabung tersebut yang ditayang di Facebook Kementerian Kewangan Malaysia pada 10 Ogos adalah lebih RM178 juta. -MalaysiaGazette