KUALA LUMPUR – Kumpulan syarikat Prolintas akan menganjurkan GCE Duathlon 2018 pada 16 September ini.
GCE Dulthlon 2018 adalah acara duathlon di atas lebuh raya julung-julung kali di Malaysia akan diadakan di Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Selangor, sempena Hari Malaysia.
Terdapat tiga kategori pertandingan dan satu aktiviti santai bagi acara ini.
Dua kategori untuk acara solo iaitu GCE Full Duathlon (10 km berlari, 60 km berbasikal dan 10 km berlari) dan GCE Dash Duathlon (5 km berlari, 27 km berbasikal dan 5 km berlari).
Semua kategori dibuka untuk lelaki dan wanita yang berusia 16 tahun ke atas.
Satu lagi acara berpasukan iaitu Team Relay turut dianjurkan dan ianya terbahagi kepada dua sub kategori iaitu Men Relay bagi peserta lelaki dan Mixed Relay untuk peserta campuran.
Untuk acara ini, tiga peserta dalam satu pasukan dikehendaki melalui cabaran dengan 10 km berlari, 60 km berbasikal dan 10 km berlari.
Acara Fun Ride sejauh 36 km turut dianjurkan bagi mereka yang berminat dengan acara santai.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, GCE Duathlon 2018 adalah penganjuran pertama Prolintas dalam acara sukan berskala besar dan kami amat berharap atlet dan peminat sukan berbasikal dan larian sama ada dari dalam dan luar negara untuk menyertai acara ini.
Dengan jajaran sepanjang 55.4 km dari Bukit Jelutong ke persimpangan Rawang, GCE merupakan salah satu laluan popular bagi peminat sukan berbasikal dan larian, terutama pada hujung minggu.
“Oleh itu, kami mengambil inisiatif untuk menganjurkan acara duathlon ini sekaligus memberikan platform terbaik untuk acara berbasikal dan larian di lebuhraya dengan selamat,” tambah Mohammad Azlan.
GCE Duathlon 2018 menyasarkan 1,000 hingga 1,500 penyertaan dari pelbagai lapisan usia dan masyarakat.
Perlumbaan akan bermula dan berakhir di Plaza Tol Bukit Jelutong, dengan peserta akan memulakan perlumbaan dengan larian, seterusnya berbasikal dan berlari semula sehingga ke garisan penamat.
GCE akan ditutup sepenuhnya bermula jam 3pagi hingga 2 petang pada hari acara berlangsung.
Katanya, GoSportz yang merupakan agensi pengurusan acara GCE Duathlon 2018 ini amat teruja untuk bekerjasama dengan Prolintas bagi menjayakan acara sukan yang unik dan memberi inspirasi kepada orang awam agar hidup aktif dan sihat.
Yuran penyertaan bagi setiap peserta adalah RM250 bagi GCE Full Duathlon dan RM220 bagi GCE Dash Duathlon.
Bagi penyertaan berkumpulan untuk tiga orang bagi kategori GCE
Team Relay, yuran sebanyak RM540 akan dikenakan, manakala yuran RM50.00 untuk acara Fun Ride.
Mohammad Azlan berkata, sebahagian dari kutipan yuran penyertaan akan disalurkan kepada Mercy Malaysia.
Pendaftaran kini dibuka dan akan ditutup pada Ahad, 19 Ogos 2018.
Setiap peserta akan menerima pek penyertaan yang mengandungi baju jersi/kemeja T, beg cenderamata, nombor bib, cip masa dan pelbagai barangan lagi.
Untuk pendaftaran dan sebarang maklumat lanjut sila layari www.gosportz.my/all- events/gce-duathlon. – MalaysiaGazette