KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan kontroversi, Jho Taek Low atau Jho Low perlu pulang ke Malaysia dan membuktikan beliau tidak bersalah terhadap tuduhan memiliki kapal persiaran mewah, Equanimity, menggunakan dana rakyat Malaysia.
Ahli Parlimen (Ketereh-BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, sudah tiba masanya Jho Low perlu tampil memberi penjelasan di atas segala tuduhan berkaitan penyalahgunaan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Dia (Jho Low) patut kembali ke Malaysia, saya setuju itu (cadangan Khairy Jamaluddin). Sudah terlalu banyak isu berkaitan dengan 1MDB dan Jho Low.
“Sebagai seorang rakyat Malaysia, kita kena bertanggungjawab dan jika dia tidak bersalah, dia kena balik dan buktikan dia tak bersalah.
“Rakyat Malaysia tidak boleh selamanya memikul masalah ini, seseorang perlu datang buat penjelasan, kita mahu kebenaran dan saya fikir memang elok Khairy ajak dia pulang dan bersihkan nama dia,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau mengulas posting Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin semalam di akaun Twitternya yang menggesa Jho Low yang menjadi buruan untuk kembali ke Malaysia dan berdepan dengan pihak berkuasa.
Khairy berkata, Jho Low juga perlu berhenti menyembunyikan diri sekiranya dirinya tidak bersalah.
Annuar berkata, Jho Low tidak perlu takut sekiranya ahli perniagaan itu tidak melakukan sebarang kesalahan dan tidak dalam penyalahgunaan dana 1MDB untuk pembelian kapal persiaran mewah, Equanimity.
“Kalau kita tidak salah, apa yang kita nak takutkan, kalau kita buat sesuatu yang menyalahi undang-undang, apatah lagi kita menyalahgunakan wang rakyat dengan cara yang salah, maka kita perlu dipertanggungjawabkan.
“Kita Ahli-Ahli Parlimen lebih-lebih lagi kita nak tengok kebenaran tetapi kita tidak mahu ada tuduhan-tuduhan sampai kesudahannya tanpa ada sebarang bukti, tidak melalui kedaulatan undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette