Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPURĀ – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih tiada hala tuju dalam penyusunan semula Biro Tata Negara (BTN) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan berkuatkuasa serta-merta.

Ahli Parlimen (Rembau-BN), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ini kerana kerajaan masih mengekalkan aset dan kakitangan kedua-dua jabatan kerajaan itu apabila peruntukan tambahan diperlukan.

“Bagi penyusunan semula BTN dan PLKN tiada kepastian apa yang akan dibuat, yang pasti jabatan-jabatan ini tidak hilang.

“Kalau dilihat kepada permintaan ditambah peruntukan, jabatan-jabatan itu masih ada cuma diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS)

“Dulu BTN di bawah Jabatan Perdana Menteri manakala PLKN di bawah Kementerian Pertahanan, maksudnya duit masih lagi disalurkan. Jadi apa akan berlaku kepada dua program itu menjadi persoalan besar,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengumumkan PLKN dan BTN dimansuhkan serta-merta malah ia bakal digantikan dengan program baharu tanpa agenda serta kepentingan tertentu.

Bagaimanapun Syed Saddiq tidak bercadang untuk menghentikan penjawat awam di kedua-dua jabatan itu melainkan lantikan politik dan kumpulan tertentu daripada pentadbiran kerajaan terdahulu.

Khairy Jamaluddin berkata lagi, sehingga kini kerajaan masih gagal menyatakan pengisian program baharu itu yang cenderung kepada pembangunan modal insan untuk golongan belia.

“Itu masih belum dijawab. Kita boleh buat rumusan program lama mungkin tidak dijalankan lagi tetapi jabatan dan kakitangan masih lagi ada dan sekarang ini ditempatkan di bawah KBS,” katanya lagi. – MalaysiaGazette