Seorang kanak-kanak dikeluarkan dari runtuhan bangunan oleh orang awam. foto BBC

DAMSYIK – Sekurang-kurangnya 39 orang termasuk 12 kanak-kanak terbunuh dalam ledakan bom yang memusnahkan sebuah bangunan di wilayah pemberontak Syria di Idlib.

Bangunan di bandar Sarmada itu dikatakan menjadi tempat simpanan senjata api yang dimiliki oleh pengedar-pengedar senjata.

Idlib adalah kawasan utama yang terakhir dan dijangka menjadi sasaran seterusnya bagi angkatan bersenjata Syria.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Kerajaan Syria, yang disokong oleh Rusia dan Iran, telah meningkatkan serangan terhadap beberapa kumpulan pemberontak di seluruh Syria.

Anggota pertahanan Awam Idlib berkata, bangunan yang musnah itu penuh dengan orang awam.

Sementara itu, Badan Pemantau Hak Asasi Manusia (SOHR) yang berpangkalan di United Kingdom berkata, berpuluh-puluh orang dilaporkan masih hilang.

Kebanyakan orang awam yang berada di dalam bangunan itu dipercayai ahli keluarga pejuang-pejuang yang telah menawan Idlib selepas dihalau keluar dari kawasan lain.

Punca letupan masih belum diketahui. – MalaysiaGazette