Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais
Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais

KUALA LUMPUR – Kerajaan Arab Saudi bakal menyediakan khutbah Arafah dalam lima bahasa termasuk bahasa Melayu, kata Imam Besar dua masjid agung di Makkah dan Madinah, Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais.

Sheikh Abdul Rahman berkata, usaha terbabit dilaksanakan bagi membolehkan jemaah haji serta umat Islam di seluruh dunia mendengar secara langsung terjemahan khutbah berkenaan.

Beliau berkata, khutbah itu bakal dilancarkan menerusi frekuensi radio khas dalam lima bahasa yang diterima pakai iaitu Melayu, Urdu, Parsi, Perancis dan Inggeris, bahkan Sheikh Abdul Rahman sendiri dijangka menyampaikannya dalam bahasa Arab.

“Terjemahan dalam bahasa Melayu dibuat bagi manfaat orang Melayu iaitu sebahagian besar kumpulan jemaah dari Asia Tenggara. Kebanyakan mereka adalah Ahli Sunnah Waljamaah dan fahaman ini berkembang ke negara lain termasuk Malaysia, Thailand, Filipina, Singapura serta Indonesia.

“Urdu adalah bahasa rasmi Pakistan dan masyarakat Islam dari lima negara India, di samping beberapa tempat lain di Asia Selatan. Manakala, Parsi pula bahasa rasmi Iran seperti yang dituturkan di Tajikistan dan negara lain,” katanya kepada editor media, lapor Bernama.

Sheikh Abdul Rahman berkata, Kerajaan Arab Saudi turut menyediakan bilik keselamatan yang dikawal rapi dan lengkap dengan kemudahan bagi penterjemah, selain mengambil kira spesifikasi kepentingan serta pengaruh kerana terjemahan dilakukan serentak, bermula dari awal khutbah.

Khutbah Arafah meliputi kawasan seluas 110,000 meter persegi yang akan diadakan, di Masjid Nemra, di Dataran Arafah.

Ia akan disiarkan segera sebelum jemaah menunaikan solat Zuhur dan Asar dalam satu perhimpunan ringkas bagi mengikuti sunnah Nabi Muhammad SWT. – MalaysiaGazette