Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kementeriannya.

Malah, beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu bersedia memberikan komitmen tinggi serta kerjasama penuh kepada badan bebas itu tanpa sebarang kompromi demi menegakkan integriti dalam kementerian berkenaan.

“Seperti kenyataan saya di Parlimen sebelum ini dalam siasatan terhadap Kementerian Pertahanan yang diketuai bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

“Saya juga mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap sesiapa sahaja di Kementerian Pertahanan mahupun di pejabat saya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, SPRM boleh mendakwa mana-mana individu yang terlibat dalam sebarang kes mengikut saluran undang-undang sedia ada.

Semalam media melaporkan, seorang pembantu kanan pemimpin Parti Amanah Negara  itu disiasat SPRM berhubung dakwaan menerima wang tunai berjumlah RM800,000 daripada beberapa pihak.

Menurut laporan tersebut, perkara itu berlaku bagi mengelak status muflis dalam menyelesikan masalah hutang.

Perkara itu turut disahkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang menjelaskan pihaknya sedang menjalankan sisatan namun enggan mendedahkan butiran lanjut.

Pembantu berusia pertengahan 40-an itu dikatakan dekat dengan Mat Sabu dan terpilih daripada berpuluh kawan-kawan rapat yang juga mahukan jawatan kanan bawah menteri itu. – MalaysiaGazette